Pindah pasir, dalamkan sungai – Penduduk

Pindah pasir, dalamkan sungai – Penduduk

PENDUDUK terpaksa membersihkan kawasan rumah mereka sekali lagi berikutan banjir lumpur yang berlaku semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Selain merobohkan empangan, penduduk Kampung Iboi turut mendesak kerajaan negeri menyegerakan usaha memin­dahkan pasir dan mendalamkan sungai bagi mengelakkan bencana banjir setiap kali hujan lebat.

Abd. Rahman Said, 71, berkata, sekiranya pasir dikeluarkan dan dipindahkan, sedikit seba­nyak mengurangkan risiko banjir terutama bagi penduduk yang berdekatan tebing sungai.

Beliau yang kehilangan tiga nyawa termasuk isteri, menantu yang sedang mengandung empat bulan dan anak menjelaskan, sejak tragedi banjir dan kepala air 4 Julai lalu, permukaan Sungai Kupang dilimpahi pasir sehingga menyebabkan dasarnya cetek.

“Pasir menimbun sejak kejadian hari itu, ada kerja-kerja me­ngorek dilakukan tetapi pasir hanya diletakkan di tebing sungai.

RUNTUHAN

“Apabila hujan lebat, berlaku runtuhan pasir masuk semula ke dalam sungai, keadaan ini tiada penyelesaiannya jika dibiarkan,” kata Abdul Rahman ketika ditemui di Kampung Iboi, semalam.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya memindahkan longgokan pasir yang banyak itu dengan segera kerana ia salah satu punca berlakunya limpahan air sungai semalam.

“Jika dibiarkan, sampai bila penduduk hendak hadap semua ini, cuaca tidak menentu, hujan turun hampir setiap hari, jika berlaku hujan lebat nanti, banjir akan berlaku lagi,” katanya lagi.

Abdullah Ahmad, 65, pula berkata, sekiranya kerajaan memindahkan pasir ke kawasan lain, ia mampu mengurangkan risiko banjir kilat.

“Banjir kali ini ada sebab, kalau ubah pasir, selamatlah, kami boleh jangka kalau cuaca gelap dari atas kaki Gunung Inas yang boleh nampak dari rumah, penduduk akan bersiap-sedialah.”

“Kerja-kerja mendalamkan su­ngai serta memindahkan pasir jika dilakukan segera kemungkinan boleh melancarkan aliran air sungai tanpa berlaku limpahan ke kawasan perkampungan,” kata Abdullah.

Kedudukan rumah Abdullah yang berjarak kira-kira 100 meter dari sungai menyebabkan berlaku banjir dan air memasuki rumah­nya sebanyak dua kali semalam.

“Banjir kali pertama pukul 3 petang, selepas itu kami dah cuci rumah, namun pukul 7 petang air melimpah lagi sekali membuatkan ramai penduduk berpindah kerana bimbang bencana berulang,” katanya lagi.

Abd Wahab Samah, 71, berkata, apabila hujan sahaja, dia dan ahli keluarganya serta penduduk mulai gelabah, gelisah dan bimbang serta mula mengemas barangan rumah ke tempat selamat.

“Tragedi 4 Julai amat menakutkan, apabila sahaja hujan, kami akan berlari ke tepi sungai untuk melihat dan memantau keadaan paras air sungai, bimbang ia melimpah ke tebing.”

“Petang semalam berlaku limpahan air sungai dan arusnya deras hingga melimpahi jambatan Bailey yang dibina sementara, tetapi hari ini ditutup sementara demi keselamatan penduduk kampung,” kata Abdul Wahab ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Kupang, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN