Penyembelih haiwan bertauliah lancarkan urusan korban - Utusan Malaysia

Penyembelih haiwan bertauliah lancarkan urusan korban

AHLI kariah Masjid Kariah Paroi Jaya, Seremban bergotong royong melaksanakan ibadat korban di masjid tersebut hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun ibadah korban dijalankan setiap tahun dan diadakan secara bergotong royong, kehadiran penyembelih haiwan yang mahir dan berpengalaman amat diperlukan.

Kemahiran dan ilmu yang ada pada mereka ini amat penting bagi melancar dan memudahkan urusan penyembelihan haiwan korban terutama apabila ia melibatkan jumlah yang besar.

Menyedari hal tersebut, Masjid Kariah Paroi Jaya di Taman Paroi Jaya di sini menghantar lima orang kariah masjid tersebut untuk mendapatkan tauliah penyembelihan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Pengerusi Masjid Kariah Paroi Jaya, Mohamad Fadzilah Zulkafly berkata, kesemua penyembelih berkenaan telah mengikuti Kursus Tauliah Penyembelihan oleh JHEAINS dan ia ternyata membantu dalam urusan korban termasuk bagi menguruskan penyembelihan 23 ekor lembu yang dijalankan semalam.

“Lima ahli kariah ini termasuk golongan muda telah memenuhi dan memenuhi syarat asas penyembelih antaranya kriteria, bertenaga dan mempunyai ilmu tentang penyembelihan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis korban di Masjid Kariah Paroi Jaya di sini semalam.

Sementara itu, kata Mohamad Fadzilah, sebanyak 23 ekor lembu dengan anggaran berat 50 hingga 60 kilogram seekor dikorbankan bermula seawal pukul 8 pagi tadi.

“Sambutan ahli kariah untuk mengadakan korban pada tahun ini sangat menggalakkan, bagaimanapun kami terpaksa menghadkan kepada 23 ekor sahaja kerana khuatir tidak sempat untuk menyempurnakan kesemuanya pada hari ini,” katanya lagi. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN