RANTAU PANJANG: Aktiviti penyeludupan sudah dianggap sebati, malah merupakan sumber rezeki utama buat penduduk yang tinggal di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Ada dalam kalangan penduduk di sempadan yang sudah terdedah dengan aktiviti itu ketika berumur 10 tahun dan melalui hasil itulah mereka gunakan untuk menyara keluarga sehingga berjaya membina kehidupan lebih baik dan ada juga yang memperturunkan pekerjaan itu kepada anak-anak pula.
Difahamkan, individu terlibat mampu menjana pendapatan bermula RM1,500 hingga RM3,000 sebulan bergantung kepada kejayaan mampu membawa barangan subsidi itu ke pangkalan haram bagi dijual ke negara jiran.
Bagaimanapun, aktiviti tersebut memberikan kesan tidak baik apabila subsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia mengalir keluar sekali gus dapat dirasai oleh penduduk di negara jiran.
Ekoran itu, kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit setiap tahun menerusi aktiviti penyelewengan subsidi yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber yang mahu dikenali sebagai Imie, 45, berkata, awalnya kerja-kerja menyeludup barangan subsidi negara ini dilakukan secara suka-suka bagi mengisi masa terluang pada sebelah malam.
Menurutnya, selepas beberapa kali mendapat upah lumayan daripada tauke, dia nekad menjadikan pekerjaan itu sebagai mata pencarian utama keluarga.
“Kerja ini sangat mudah, saya hanya perlu mengikut arahan yang diberikan dengan mengambil barangan subsidi tersebut dan kemudian menghantarnya ke kawasan pangkalan haram di sekitar Sungai Golok.
“Sebaik semuanya selesai, tauke akan terus memberikan upah sebagaimana yang telah dijanjikan. Dalam sehari saya mampu menjana pendapatan sehingga RM150 sehari bergantung kepada kekerapan membawa barangan tersebut,” katanya.
Imie memberitahu, kerja-kerja membawa barangan tersebut turut dibantu oleh ‘mata-mata yang akan menyalurkan maklumat menerusi alat perhubungan sama ada laluan tersebut bebas pemeriksaan pihak berkuasa atau sebaliknya.
“Jika keadaan ‘panas’, kumpulan berkenaan akan meminta saya untuk berehat seketika sambil menunggu keadaan menjadi tenang semula,” ujarnya yang sudah 25 tahun menjalankan aktiviti itu.
Bagi Zeman, 25, dia memilih untuk terlibat dalam aktiviti membawa barangan seludup disebabkan permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di negara jiran.
Katanya, dia hanya cuti seminggu sekali sahaja dan banyak menghabiskan masa di atas jalan dengan membawa barang seludup.
“Kerja ini semakin sebati dengan saya, lagipun tauke banyak membantu termasuklah menyediakan kenderaan yang baik untuk melaksana setiap tugasan sebagaimana diberikan.
“Saya pernah ditawarkan untuk membawa pendatang asing tanpa izin (PATI), namun menolaknya kerana hukumannya sangat berat,” ujarnya.
Sementara itu, Yo yang sudah meninggalkan kerja sebagai penyeludup memberitahu, keputusan tersebut dibuat selepas dia nekad untuk berkahwin ketika berusia 37 tahun.
Dia yang kini berusia 57 berkata, hasil aktiviti penyeludupan itu dia jadikan sebagai modal untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan,” katannya. – UTUSAN










