Penyelidik UM bangunkan sarer

Penyelidik UM bangunkan sarer

DR. Adibi Rahiman Md. Nor (tiga dari kanan) menabur benih rumpai laut di salah sebuah kolam ternakan udang di Sungai Semerak, Pasir Puteh, Kelantan hari ini. -UTUSAN/ TOREK SULONG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH : Seorang penyelidik dari Universiti Malaya (UM) giat membangunkan projek penternakan rumpai laut kering atau sarer di kawasan Sungai Semerak, di sini, dalam usaha mengurangkan kemasukan bahan mentah yang diseludup dari Thailand itu ke negara ini.

Dr. Adibi Rahiman Md. Nor berkata, sarer keluaran tempatan itu dijamin lebih selamat dan bebas dari pencemaran logam berat kerana proses penternakan tersebut dilakukan selepas  pelbagai kajian dilaksanakan.

Menurutnya, penternakan secara bersistematik menggunakan teknologi kultur dan pemerosesan yang mengikut piawaian kesihatan mampu menghasilkan sarer yang selamat dimakan.

“Kita menggunakan kaedah integrasi antara rumpai laut, ikan dan tiram. Kombinasi spesies ini penting bertujuan memastikan keseimbangan ekosistem dan kandungan nutrien dalam kolam tersebut.

NUTRIEN

“Setiap spesies itu memberi manfaat antara satu sama lain, sebagai contoh ternakan akan menghasilkan banyak nutrien melalui najis dan makanan yang tidak habis dimakan,” katanya pada Program Pemindahan Teknologi Pengkulturan Rumpai Laut di Sungai Semerak, di sini hari ini.

Adibi Rahiman menjelaskan, rumpai laut akan bertindak sebagai penapis biologi yang menyerap lebihan nutrien dalam air manakala tiram memainkan peranan sama bagi menapis partikel besar bagi memastikan persekitaran dalam kolam yang selamat dan sihat. 

Katanya, benih sarer keluaran tempatan ini sedang diternak dalam tangki serta kolam tanah di Pulau Gajah, Kota Bharu dan akan dikembangkan ke Sungai Semerak.

“Kita jangka menerusi pengembangan projek ini, lebih 200 penternak akuakultur di Sungai Semerak mampu menjana pendapatan sampingan di samping mengusahakan penternakan ikan dan udang.

“UM telah bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Kelantan untuk membangunkan projek ini menerusi kepakaran berasaskan penyelidikan membiak benih rumpai tempatan, kaedah pemprosesan dan strategi pemasaran,” ujarnya.

Adibi Rahiman berkata, sarer boleh dituai dalam tempoh 45 hari dengan kadar jualan hasil yang diproses kering sekitar RM70 sekilogram.

Katanya, sarer turut boleh dijadikan sebagai produk hiliran menerusi penghasilan kosmetik, makanan tambahan, pembikinan plastik terurai, agar-agar dan sebagainya.

 

INFO

Sarer cukup popular di Kelantan terutama pada bulan Ramadan apabila ia dijadikan sebagai kerabu.

Projek pertama sarer diusahakan di Parit Bulat, Muar, Johor.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Disember 1996 lalu telah mengharamkan aktiviti mengimport, larangan penjualan dan memakan sarer yang didapati dicemari oleh logam berat plumbum melebihi had dibenarkan oleh Peraturan-Peraturan Makanan 1985. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN