PETALING JAYA: Seorang kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) antara tiga individu terbaharu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kelmarin selepas dipercayai terlibat dalam penyelewengan Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) sehingga RM100 juta.
Penahanan semua suspek berusia antara 26 tahun hingga 46 tahun itu dilakukan di Pulau Pinang dan Johor sekali gus menjadikan jumlah tangkapan Op Hire sehingga kini seramai 40 orang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber SPRM berkata, tangkapan di Johor melibatkan seorang kakitangan Perkeso yang bertugas di bahagian pekeranian di negeri berkenaan.
Kata sumber itu, siasatan awal SPRM mendapati, kakitangan yang juga berpangkat ketua kerani kanan berusia 41 tahun dipercayai meminta wang sogokan sejumlah RM5,000 daripada salah sebuah syarikat terlibat bagi membantu dalam urusan tuntutan program insentif pengambilan pekerja.
“Ini adalah kes pertama dibongkarkan terdapat penglibatan ‘orang dalam’ di pertubuhan itu. Siasatan lanjut giat dijalankan dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai ditahan selepas ini,” katanya di sini, semalam.
Bagi kes di Pulau Pinang pula, kata sumber itu, kedua-dua individu berusia 26 tahun dan 40 tahun yang ditahan adalah pemilik syarikat dan pekerja bebas yang terlibat dalam pembekal latihan.
“Kesemua mereka direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan mana-mana kesalahan di bawah jenayah,” katanya.
Kelmarin, menerusi Op Hire di seluruh negara, SPRM dilapor menahan 37 individu yang dipercayai menggunakan platform program Penjana Kerjaya untuk membuat tuntutan palsu sehingga RM100 juta.
Mereka yang ditahan terdiri pengarah, pemilik, pengurus dan jurutera-jurutera melibatkan 26 lelaki dan 11 wanita berusia antara 28 hingga 70 tahun daripada 64 buah syarikat berstatus sendirian berhad.
Modus operand syarikat itu yang dikenal pasti SPRM yang sepatutnya membuat latihan dan menggaji pekerja dalam bidang industri, namun mengambil kesempatan mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana program berkenaan.
Majikan-majikan terlibat dipercayai mengambil data daripada orang luar atau berpakat dengan pembekal latihan untuk membuat tuntutan palsu dengan insentif yang ditawarkan itu.
Kebanyakan pekerja yang dikatakan bekerja dengan majikan-majikan berkenaan tidak pernah bekerja di syarikat terbabit.
Program Penjana Kerjaya merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal tahun 2020.
Program ini dilaksanakan oleh Perkeso bagi tujuan merangsang ekonomi negara melalui perwujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja. – UTUSAN










