BALING: Tragedi kepala air dan banjir lumpur di Sungai Kupang yang mengorbankan tiga nyawa meninggalkan kesan amat mendalam terhadap penduduk di beberapa kampung terutama di Kampung Iboi yang paling teruk terjejas.
Rata-rata mangsa yang mendiami rumah berhampiran tebing sungai tersebut kini fobia dengan kejadian itu dan tidak mahu lagi tinggal di tapak rumah lama kerana bimbang kejadian sama berulang pada masa hadapan.
Namun, mereka kini buntu dan hanya menunggu langkah seterusnya oleh kerajaan kerana tiada tempat untuk dituju sebagai kediaman baharu bagi menggantikan rumah yang lenyap atau tidak lagi dapat didiami.
MIMPI NGERI
Penduduk Kampung Iboi, Ahmad Lateh, 72, yang lahir dan tinggal di situ berkata, selama lebih 70 tahun, dia dan keluarga mendiami lokasi itu tanpa menyangka kejadian kepala air yang menjadi mimpi negeri penduduk di tempat lain menimpa mereka.

Katanya, dia sama sekali tidak akan membina semula rumah berhampiran sungai tersebut kerana tidak mahu menanggung risiko, memandangkan terdapat banyak kolam di atas Gunung Inas yang boleh menyumbang kepada bencana alam di situ.
“Tak tahu lagi di mana kami akan tinggal selepas ini, kalau diberi peruntukan buat rumah baharu pun, kami tiada tapak yang lebih selamat untuk didiami, malah, tapak rumah sekarang yang hanyut sepenuhnya pun sudah menjadi sungai baharu.
“Mungkin jika kerajaan dapat sediakan perumahan-perumahan awam kepada kami seperti rumah KEDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah) dan lain-lain, itu juga dapat membantu kami untuk tinggal selesa berbanding di tebing Sungai Kupang,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara, semalam.
Dalam kejadian Isnin lalu, sebanyak 15 buah rumah di Kampung Iboi lenyap sepenuhnya akibat tragedi berkenaan dengan 14 buah rumah lagi mengalami kerosakan serius yang mungkin tidak sesuai untuk dibaiki.
Sementara itu, Azizan Md. Isa, 49, juga masih tiada perancangan selanjutnya dan hanya menunggu arahan kerajaan sama ada mereka akan ditempatkan di mana-mana lokasi atau perumahan selepas ini.

“Saya juga berniaga kedai makan di rumah kami, kelengkapan meniaga turut lenyap sepenuhnya kerana tidak sempat diselamatkan pada hari kejadian dan kami kini hanya tinggal sehelai sepinggang,” katanya.
“Malah, kami sekeluarga tidak mungkin akan tinggal semula di rumah lama yang kini rosak teruk dengan sebahagian dinding telah roboh akibat banjir lumpur dan kepala air tempoh hari,” katanya. – UTUSAN









