Pendaki wanita terkandas diselamatkan JBPM di Kem Berlumut, Merapoh - Utusan Malaysia

Pendaki wanita terkandas diselamatkan JBPM di Kem Berlumut, Merapoh

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sedang mengangkat mangsa, Nadia Azmi ke atas ambulans sejurus helikopter mendarat berdekatan Balai Bomba Gua Musang di Kelantan. -IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang pendaki wanita dipercayai kehabisan tenaga serta terkandas di Kem Berlumut, Merapoh berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan menggunakan helikopter di sini hari ini.

Mangsa berusia 39 tahun diselamatkan dan diterbangkan dengan helikopter, kemudiannya mendarat berdekatan Balai Bomba Gua Musang sebelum terus dibawa ke Hospital Gua Musang dengan ambulans pukul 12.50 tengah hari.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, anggota Balai Polis Merapoh menerima maklumat kejadian pukul 7.15 pagi tentang mangsa, Nadia Azmi beralamat di Putrajaya terkandas di Kem Berlumut yang jaraknya 21 kilometer daripada Kuala Juram.

“Mangsa bersama 20 orang pendaki lagi mula mendaki Gunung Tahan melalui Kuala Juram, Merapoh pada 27 Julai lalu dengan dipandu oleh tiga orang malim gunung.

“Dia dipercayai kehabisan tenaga dan terkandas di Kem Berlumut dalam perjalanan mendaki puncak gunung tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, seramai lima orang anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) naik ke Kem Berlumut untuk memberikan bantuan awal.

“Helikopter JBPM dari Subang, Selangor telahpun berlepas ke Kem Berlumut, Merapoh pada pukul 12 tengah hari ini untuk operasi membawa turun mangsa,” ujarnya.

Jelasnya, ketika kejadian keadaan cuaca di Kem Berlumut mendung, berawan dan berkabus. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN