Pembinaan konkrit ancam pendaratan penyu di Pangkor - Utusan Malaysia

Pembinaan konkrit ancam pendaratan penyu di Pangkor

KERJA- kerja pembangunan tanah yang sedang giat dilakukan di kawasan pantai Teluk Ketapang yang menjadi lokasi pendaratan penyu di Pulau Pangkor. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Aktiviti dan kerja-kerja pembangunan termasuk binaan konkrit dikesan sedang dilakukan di kawasan pantai Teluk Ketapang, Pulau Pangkor di sini yang menjadi lokasi pendaratan penyu untuk bertelur di pulau tersebut.

Kerja-kerja pembangunan itu dikhuatiri akan merosakkan struktur semula jadi di pantai yang dikenali sebagai ‘Turtle Bay’ itu sekali gus menjauhkan penyu untuk bertelur di situ.

Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kegiatan itu sejak kira-kira sebulan lalu dan tinjauan mendapati tiada sebarang papan tanda ‘Kebenaran Merancang’ oleh pihak berkuasa tempatan dipacakkan di lokasi tersebut. 

Jelas beliau, semakan pihaknya mendapati walaupun pantai itu belum diwartakan sebagai lokasi pendaratan penyu, ia didapati diletakkan dalam kategori kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) Tahap Dua iaitu sebarang pembangunan baharu dan peluasan pembangunan sedia ada tidak dibenarkan. 

“Pantai tersebut menjadi tumpuan pendaratan penyu agar (Chelonia Mydas) yang didapati mengalami penurunan drastik sejak tahun lalu dan dibimbangi pembangunan tidak terkawal dan masalah pengurusan tidak cekap akan menjadi ancaman kepada haiwan dilindungi itu.

“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, hanya lima sarang (bertelur) ditemukan manakala 18 sarang sepanjang tahun lalu berbanding 37 sarang (2020), 28 sarang (2019), 24 sarang (2019) dan 19 sarang pada 2017,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Noor Ismady, pihaknya mengesyaki struktur itu kemungkinan dibina atas arahan pihak berkaitan yang juga dalam proses membangunkan galeri Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) di Teluk Ketapang. 

Beliau berpendapat, usaha konservasi penyu sepatutnya dianggap berjaya dengan peningkatan bilangan sarang penyu, bukannya dengan berapa banyak galeri yang dapat dibina.

Sementara itu, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, sepatutnya pihak berkaitan perlu mengutamakan tindakan untuk mewartakan kawasan pendaratan penyu daripada membina bangunan atau struktur kekal.

Dalam kenyataan di Facebooknya, beliau menjelaskan tiada makna membina struktur kekal dengan kos yang tinggi sekiranya penyu tidak lagi mendarat disebabkan halangan daripada pembinaan struktur tersebut serta gangguan-gangguan lain di kawasan sekitarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, usaha menaik taraf PKPP Teluk Ketapang dilakukan selepas mengambil kira semua aspek berkaitan termasuk kesan terhadap alam sekitar.

Beliau berkata, kerja-kerja itu hanya melibatkan kawasan seluas 65 meter persegi iaitu 0.16 peratus sahaja daripada keseluruhan kawasan seluas 3.9 hektar. 

Jelasnya, Jabatan Perikanan Perak sudah mengambil kira kesesuaian tapak manakala struktur yang dibina berbentuk bangunan tidak kekal dengan ketinggian satu meter dari paras tanah.

“Cahaya lampu juga adalah jenis cahaya rendah dengan mengambil kira sensitiviti penyu,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, permohonan dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) pada 22 April lalu bagi mendapat kelulusan merancang dan tindakan seterusnya nanti ialah mewartakan Teluk Ketapang sebagai tapak PKPP selepas mendapat nasihat Pengarah Tanah dan Galian Perak.

“Galeri dibina di situ sebagai pusat kesedaran dan pendidikan kepada orang ramai sekali gus menjadi produk pelancongan di Pulau Pangkor,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN