SEREMBAN: Seorang pegawai di pejabat salah seorang Exco Kerajaan Negeri Sembilan mengesahkan dirinya dipanggil bagi membantu siasatan susulan laporan polis dibuat seorang wanita yang didakwa menjadi mangsa cabul di sebuah hotel di sini.
Pegawai tersebut berkata, dakwaan yang telah dilemparkan kepada beliau itu dikatakan bersifat dendam dan bermotifkan politik.
“Saya memberi kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia supaya proses siasatan tersebut dapat dibuat secara telus.
“Saya mengesahkan bahawa telah pun dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan oleh pihak polis pada 4 Julai 2022 ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata lelaki berkenaan, dirinya bersama-sama peguam akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan sedang mempertimbangkan tindakan mengikut lunas undang-undang bagi membersihkan namanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan berhubung laporan polis dibuat seorang wanita Ahad lalu yang mendakwa menjadi mangsa cabul di sebuah hotel di sini.
“Pada 3 Julai lalu, pihak polis mengesahkan menerima satu laporan yang dibuat seorang wanita mengatakan dicabul di sebuah hotel pada 30 Mac dan 26 April lalu oleh seorang lelaki.
“Siasatan akan dilaksanakan daripada pelbagai sudut termasuk menggunakan khidmat forensik, mengambil keterangan saksi yang boleh membantu siasatan seterusnya mengesan suspek yang terbabit,” katanya.
Nanda berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-keduanya.
“Polis meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan memberi ruang serta masa bagi memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh dan komprehensif,” katanya. –UTUSAN ONLINE











