GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengadakan ‘post mortem’ susulan krisis bekalan air selama enam hari bermula Rabu minggu lalu ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, di Seberang Perai.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, PBAPP akan membentangkan hasil daripada ‘post mortem’ itu dalam mesyuarat exco akan datang.
”Saya sudah arahkan satu ‘post mortem’ (berhubung krisis bekalan air), PBAPP akan bentangkan dalam mesyuarat Exco akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di Komtar di sini hari ini.
Terdahulu, dalam sidang akhbar itu Kon Yeow memaklumkan mengenai program Community Award dan program Love Penang Run di bawah kempen LovePENANG.
Isnin lalu, PBAPP mengumumkan bahawa bekalan air pulih sepenuhnya di seluruh negeri selepas enam hari gangguan disebabkan oleh penutupan sementara LRA Sungai Dua.
Penutupan sementara LRA Sungai Dua itu disebabkan kekeruhan air mentah yang luar biasa tinggi dari Sungai Muda berikutan banjir di Baling, Kedah dan mengakibatkan 80 peratus, atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun di seluruh negeri terputus bekalan air.
Menurut Kon Yeow, insiden bekalan air terganggu itu dimaklumkan menerusi Facebook, namun, mungkin terdapat kelemahan dari segi komunikasi menyebabkan maklumat mengenainya tidak disampaikan kepada pengguna dengan lebih awal.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai permintaan MCA Pulau Pinang yang mahu kerajaan negeri memberi rebat kepada pengguna yang terjejas susulan krisis air itu, Kon Yeow berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai cadangan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, masih belum ada perbincangan lanjut mengenai cadangan tersebut buat masa ini.
Kon Yeow menambah, selain pengguna, PBAPP turut terkesan dengan insiden berkenaan kerana banjir di Baling menyebabkan air mentah Sungai Muda keruh dan tidak selamat untuk disalurkan kepada pengguna.
”Kita bukan tidak mahu beroperasi, tetapi loji tidak dapat beroperasi akibat air mentah di Sungai Muda yang keruh.
”Seramai 400 warga kerja PBAPP bertungkus lumus sepanjang krisis air berlaku dan ia juga membabitkan kos memandangkan PBAPP perlu menggerakkan jentera dan sebagainya bagi menyelesaikan krisis ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE










