Pasangan suami isteri terlibat 20 kes curi ditahan - Utusan Malaysia

Pasangan suami isteri terlibat 20 kes curi ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis berjaya menyelesaikan 20 kejadian curi dengan penahanan pasangan suami isteri di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat Taiping, Perak pada 11 Julai lalu. 

Lelaki berusia 47 tahun serta isterinya yang merupakan warga asing berusia 28 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul. 

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ini susulan pihaknya menerima laporan lelaki tempatan berkenaan kejadian pecah cermin kereta sehingga mengakibatkan kehilangan komputer riba di Kepong dekat sini pada 9.18 malam, 7 Julai lalu. 

Katanya, siasatan awal mendapati mereka telah bergiat aktif sejak bulan November lalu. 

“Suspek mensasarkan sebarang kenderaan yang disyaki meninggalkan barangan berharga seperti komputer riba di dalam kenderaan. 

“Setelah kenderaan dikenalpasti, sebatang pemutar skru digunakan untuk mengumpil cermin kereta sehingga pecah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati kesemua barangan hasil curi seperti komputer riba akan dijual kepada individu yang tertentu dengan anggaran harga RM500 hingga RM700 bergantung kepada jenama barangan tersebut.

Jelas beliau, susulan dari tangkapan yang dilakukan, pihak polis turut merampas tiga telefon bimbit pelbagai jenama, tiga jam tangan, dua lampu suluh mini, pemutar skru jenis pipih dan wang tunai berjumlah RM983. 

“Kita turut menyerbu kediaman dan kenderaan suspek di Taman Usahawan selain merampas kasut jenama Nike dan tiga  komputer riba jenama DELL.

“Susulan dari operasi yang dijalankan ini, kita berjaya menyelesaikan 20 kes curi dalam kenderaan yang dilaporkan di daerah Sentul,” ujarnya. 

Tambahnya, suspek lelaki mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan kedua-dua mereka direman dari 12 Julai.

Polis Kuala Lumpur menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian pecah cermin kereta bolehlah menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03- 40482222.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN