KUALA LUMPUR: Urusan lantikan dan juga penempatan 16,381 guru melalui pengambilan khas one-off sudah selesai dilaksanakan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sebelum ini, kementeriannya mengumumkan pengambilan khas seramai 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan Gred DG41 secara one-off.
Daripada jumlah lantikan itu, katanya, seramai 13,770 guru adalah lantikan secara tetap manakala 2,611 orang lagi adalah lantikan secara Contract of Service (CoS).
“Kementerian mengucapkan terima kasih di atas kerjasama SPP dalam menjayakan urusan pengambilan guru one-off ini bagi mengatasi isu kekosongan guru yang berlarutan sekian lama.
“Kementerian juga memperkenalkan kaedah Kluster Mata Pelajaran bagi pengambilan guru secara one-off agar dapat membuka peluang kepada lebih ramai graduan untuk memohon berdasarkan kepada pemetaan ijazah sarjana muda dengan mata pelajaran yang bersesuaian.
“Penggunaan Kluster Mata Pelajaran akan diteruskan dalam urusan pengambilan yang seterusnya dan kluster yang digunakan ini akan sentiasa dinilai dan ditambah baik,” katanya pada sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Dalam sesi soal jawab itu, Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) meminta Menteri Kanan Pendidikan untuk menyatakan sama ada proses pengambilan guru khas one-off 18,702 dilaksanakan sepenuhnya.
Ma’Mun juga ingin tahu berapa jumlah lantikan guru sama ada lantikan tetap atau lantikan secara perkhidmatan kontrak atau CoS yang diisi oleh calon-calon guru berasal dari Sabah untuk mengisi kekosongan dan kekurangan guru di Sabah.
Menurut Radzi, bagi negeri Sabah, seramai 1,653 orang guru yang dilantik melalui ambilan one-off merupakan anak kelahiran Sabah yang terdiri daripada 1,498 guru lantikan tetap dan 155 guru lantikan CoS.
“Daripada 1,653 orang guru yang dilantik, seramai 1,221 guru baharu telah ditempatkan di sekolah negeri Sabah. Ini melibatkan 1,104 guru lantikan tetap dan 117 orang guru lantikan CoS,” katanya. –UTUSAN ONLINE










