[PARLIMEN]: Subsidi bersasar: Takkan nak rampas minyak masak peket daripada makcik jual pisang goreng? - PM - Utusan Malaysia

[PARLIMEN]: Subsidi bersasar: Takkan nak rampas minyak masak peket daripada makcik jual pisang goreng? – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui subsidi bersasar masih belum boleh dilaksanakan tetapi mekanisme sesuai sedang dirangka supaya tidak ada mana-mana pihak yang tercicir.

Ini kerana, katanya, masih terdapat beberapa faktor yang menyebabkan subsidi bersasar tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan, termasuklah pemberian subsidi terhadap minyak masak berpeket.

“Yang susah nak kawal, minyak masak peket untuk kegunaan rumah tetapi pengusaha-pengusaha…restoran besar menggunakannya dan satu lagi agak sukar nak kawal, tak sampai hati nak ambil tindakan terhadap makcik-makcik yang jual pisang goreng.

“Mereka tak boleh gunakan minyak masak untuk kegunaan jual pisang goreng  itu salah, sebab minyak masak peket tidak boleh untuk komersial, tapi adakah penguat kuasa nak saman makcik atau rampas minyak masak mereka? Nanti dituduh kita zalim pula kepada rakyat yang miskin ini yang nak menjual…kais pagi makan pagi.

“Jadi, bukan sesuatu yang mudah, ada perkara yang perlu dipertimbangkan, tetapi percayalah kerajaan tidak berdiam diri dan Perdana Menteri tidak boleh dikatakan tidak melakukan apa-apa tindakan, insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk kepentingan negara,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau juga mengakui, minyak masak peket bersubsidi sering diseleweng kerana harganya RM2.50 terlampau rendah.

“Bayangkan harga sebenar RM9, kalau penyeludup bawa keluar jual harga RM5, dia dah untung RM2.50 satu peket, jadi perniagaannya sangat menguntungkan kepada penyeludup.

“Sebab itu kita sedang mengambil tindakan punca minyak masak dikeluarkan pengilang. Kita akan audit pengilang, kita akan dapatkan perincian, siapa pembeli minyak masak daripada mereka,” katanya.

Jelasnya, yang paling terdedah kepada penyelewengan adalah pembungkus minyak masak.

“Mereka diberi kebenaran membungkus satu tan minyak masak, ke mana minyak masak itu dihantar, jadi kita akan dapatkan nama-nama di kilang-kilang tersebut, siapa penerima minyak masak tersebut dan kita akan siasat pembekal itu, berapa banyak dia dapat, sebab kadang-kadang tak sampai ke pembekal…daripada kilang bawa ke lain, jadi kita akan dapatkan perincian, pastikan tiada penyelewengan,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga pernah berdepan dengan isu keberkesanan subsidi bersasar untuk RON95 sewaktu beliau menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Banyak persoalan timbul, siapa yang berhak dapat, kita kata, kereta 2,000cc ke bawah, jadi berbagai-bagai isu timbul mengenai ini. Di kampung, pak imam pakai Volvo 2,000cc tapi harga Volvo RM10,000, dia tak boleh mendapat subsidi kerana dia pakai 2,000cc ke atas, sedangkan ada kereta mini yang kecil harga dia beratus ribu tapi kerana kurang 2,000cc jadi dia berhak dapat subsidi.

“Jadi, ini antara perkara yang perlu kita perincikan, bagaimana cara mekanismenya, adakah kita nak beri gula atau gandum, minyak masak menggunakan kupon, adakah kupon boleh digunakan ataupun guna MyKad untuk membeli dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan isu subsidi bersasar akan dibentangkan di Parlimen.

“Kita sedang perincikan, insya-Allah kita akan bentangkan apakah cara yang kita akan gunakan dari segi subsidi bersasar. Memang kerajaan kerugian besar akibat subsidi tersasar atau tidak bersasar kerana semua pihak menikmatinya, sepatutnya khusus untuk golongan yang berhak iaitu golongan miskin

“Cadangan subsidi bersasar bermula dari beberapa kerajaan, tetapi sampai sekarang masih belum boleh dilaksanakan, jadi kerajaan sedang merangka mekanisme supaya tidak ada yang tercicir dan tertinggal, kita sedang cari mekanisme yang sesuai supaya semua yang berhak mendapat subsidi akan mendapat subsidi,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN