Perlu enam bulan sebelum beri subsidi petrol bersasar - Zafrul 

Perlu enam bulan sebelum beri subsidi petrol bersasar – Tengku Zafrul 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan sebelum benar-benar bersedia melaksanakan pemberian subsidi petrol secara bersasar. 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketika ini, mekanisme pemberian subsidi minyak mentah secara bersasar masih di peringkat awal dan pengujian. 

“Pengujian ini akan disusuli dengan pengujian lebih meluas dari segi beberapa kaedah lain dan menguji kebolehlaksanaan mekanisme tersebut bukan sahaja di kawasan bandar tetapi di luar bandar. 

“Pada masa sama, kerajaan merancang pelaksanaan ini secara bersasar bagi memastikan ia tidak mengakibatkan inflasi secara mendadak atau menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi. 

“Pun begitu, kerajaan tidak akan menaikkan harga petroleum terus pada harga pasaran tanpa subsidi memandangkan impaknya kepada inflasi walaupun harga RON95 adalah 50 peratus daripada harga kos sebenar atau subsidi,” katanya semasa waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) tentang bagaimana ujian pemberian subsidi petrol dijalankan, tahap kesesuaiannya memandangkan harga barang sudah meningkat dan pembaharuan dasar subsidi yang sedang dirancang. 

Hon Wai sebelum itu meminta Tengku Zafrul menyatakan bagaimana kerajaan membiayai jumlah keseluruhan subsidi yang dijangka mencecah RM80 bilion untuk tahun ini.  

Tengku Zafrul pula berkata, Kementerian Kewangan mengeluarkan Pekeliling Perbendaharaan 3.1 pada 14 Julai lalu mengenai langkah penjimatan oleh semua kementerian dan agensi bagi menampung sebahagian daripada keperluan subsidi tambahan. 

“Antaranya ialah kawalan terhadap lawatan ke luar negara, barangan import, serta penangguhan perbelanjaan yang belum komited. Namun, saya menegaskan langkah-langkah yang berpaksikan kesejahteraan rakyat akan tetap diteruskan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya