KUALA LUMPUR: Penurunan harga minyak masak yang tidak bersubsidi perlu dibuat dalam masa dua minggu dengan kadar penurunan sebanyak 10 peratus.
Menegaskan perkara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, hal ini berikutan turunnya harga sawit sehingga 25 peratus dalam masa dua minggu sejak bulan lalu.
“Kita berpegang kepada prinsip untuk sentiasa bekerjasama dengan pihak industri termasuklah pengilang-pengilang. Kita sangatlah memerlukan persefahaman di peringkat kilang-kilang, sepantas mana mereka naikkan harga sewaktu minyak naik harga, saya harap sepantas itu jugalah segera turunkan harga apabila harga minyak telahpun turun.
“Pada masa ini, harga minyak yang tidak bersubsidi masih berada pada tahap yang agak tinggi. Laporan yang diberi kepada jawatan kuasa hari ini, trend menurun dilaksanakan oleh beberapa peruncit tetapi belum menyeluruh.
“Kita bersetuju sekali lagi memohon kerjasama untuk semua pengilang dan dalam seminggu dua daripada sekarang, kita ingin melihat minyak masak diturunkan kepada satu paras sekurang-kurangnya 10 peratus lebih rendah dari harga yang dijual sekarang pada harga RM42 sebotol,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Dilaporkan, harga minyak sawit mentah (MSM) menunjukkan arah aliran penurunan bermula 7 Jun lalu iaitu daripada RM6,753.50 satu tan kepada RM5,046.00 satu tan pada 22 Jun 2022 atau penurunan sebanyak 25.3 peratus dalam tempoh hanya kira-kira dua minggu.
Berhubung isu harga ayam, Annuar turut memaklumkan yang pihaknya berpuas hati dengan kadar di bawah harga siling yang ditetapkan.
“Harga ayam pada masa ini rata-rata ayam dijual di bawah harga siling yang ditetapkan, purata nasional mingguan, sehingga 9 Julai ialah pada harga RM9.25, malah ada negeri yang telah menawarkan harga lebih rendah di bawah RM9, di Pahang merekodkan harga terendah RM8.95 sekilogram,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE










