Papar tanda harga ‘potong’ ayam - Utusan Malaysia

Papar tanda harga ‘potong’ ayam

MUHAMAD Radzi Johan membuat pemeriksaan dan pemantauan harga siling runcit ayam standard yang ditetapkan pada harga RM9.40 sekilogram di sebuah pasar raya di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kos tambahan bagi perkhidmatan ‘potong’ ayam yang dikenakan oleh peniaga kepada pelanggan, perlu dipaparkan pada papan tanda harga setiap gerai.

Istilah ‘potong’ tersebut merujuk kepada harga ayam yang diproses dan dijual tanpa kepala serta kaki. 

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Muhamad Radzi Johari berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga yang tidak memaparkan tanda harga termasuk khidmat ‘potong’ ayam.

Menurutnya, upah itu tidak menyalahi peraturan ditetapkan, namun pelanggan mempunyai hak jika tidak mahu menggunakan perkhidmatan ditawarkan. 

“Kalau ada papan tanda atau kenyataan dilekatkan di premis, tidak ada masalah. Pelanggan perlu tahu dan diberi pilihan, kalau nak beli ayam yang sudah siap ‘potong’ harganya lain, kalau tak ‘potong’ harganya lain,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan sempena penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam di sebuah pasar raya dekat sini hari ini.

Muhamad Radzi berkata, seramai 127 pegawai dan anggota penguat kuasa dibantu 97 pegawai terlibat dalam memantau harga di seluruh negeri ini.

Jelasnya, usaha tersebut bagi memastikan bekalan ayam dan minyak mencukupi, pemantauan akan  dilakukan hampir setiap hari.

“Bagi tujuan ini, kita melancarkan Ops Anti Sorok untuk memberi tumpuan khusus kepada peniaga atau pembekal yang tidak amanah. Tujuan operasi ini adalah bagi memastikan bekalan semua bahan keperluan seperti ayam, telur ayam dan minyak masak sentiasa mencukupi dan tidak berlaku penyelewengan,” katanya. 

Sementara itu, katanya, sebanyak 278,616 kilogram stok minyak masak sawit tulen berbotol dan 123,753 kilogram stok minyak masak dalam peket satu kilogram berada di pasaran di negeri ini.

“Jumlah tersebut mencukupi dan mampu memenuhi keperluan pengguna sekali gus memaklumkan bahawa bekalan semua bahan keperluan adalah stabil.

“Setakat ini, pihak kami tidak menerima sebarang laporan mengenai kekurangan bekalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya