ALOR SETAR: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pernah menyuarakan kebimbangan berhubung kejadian kepala air di Gunung Inas, Kampung Iboi dekat Baling tahun lepas ekoran aktiviti tebus guna tanah di kawasan itu.
Menurut Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee, kawasan berkenaan diibaratkan sebagai bom jangka jika aktiviti yang dikaitkan dengan dakwaan penanaman pokok durian Musang King tidak diuruskan dengan betul.
“Kami sudah sampai ke kawasan ini banyak kali berkenaan projek Musang King di Gunung Inas, Sungai Iboi yang mana berlaku banjir lumpur semalam adalah laluan utama dari puncak gunung itu.
“Apabila terjadi insiden kepala air di Gunung Jerai tahun lepas, kami melahirkan kebimbangan bahawa Gunung Inas juga berkemungkinan berlaku insiden berkenaan,” katanya di sini hari ini.
PEMENDAPAN
Menjelaskan lanjut, Mohd. Sobri berkata, pihaknya berpandangan kepala air berkenaan berpunca daripada kolam mendapan yang dibina berdekatan projek Musang King bagi mengurangkan pengaliran terus lumpur ke sungai berdekatan itu pecah.
“Kemungkinan kolam mendapan dibuat tidak mengikut standard Jabatan Alam Sekitar (JAS) termasuk Zon Penampan yang tidak dipatuhi oleh penggerak projek yang menyebabkan lumpur terus ke sungai yang berhampiran atau tidak diselenggara dengan baik.
“Kemungkinan projek yang dibangunkan tidak memenuhi kriteria pembukaan ladang hutan seperti pembukaan di kawasan cerun yang di bawah 25 peratus,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak berwajib termasuk kerajaan negeri perlu melakukan langkah segera mengatasi perkara ini sebelum insiden sama turut berlaku di kawasan lain.
“Mereka perlu membaik pulih kolam takungan yang dibina dan menilai keadaan kolam sama ada mengikut piawaian yang ditetapkan oleh JAS selain memantau pelaksanaan kaedah-kaedah mitigasi yang ditetapkan di dalam Kajian Impak Alam Sekitar (EIA).
“Langkah lain adalah mencari kaedah terbaik untuk menutupi kawasan bukaan yang terhasil daripada Projek Durian Musang King ini dan memberhentikan segala aktiviti bagi mengkaji dan memulihkan keadaan yang rosak,” katanya.
Beliau juga berharap kerajaan negeri mengkaji semula kelulusan projek Durian Musang King kerana Jabatan Perhutanan Negeri Kedah tidak mengesyorkan pokok durian di tanam di dalam hutan simpan. – UTUSAN










