PETALING JAYA: Malaysia akan kerugian lebih RM30 bilion setahun terutama dalam sektor perladangan jika langkah Indonesia membekukan sementara proses pengambilan pekerja dari negara itu tidak diatasi dengan segera.
Selain itu, ia juga akan memberi kesan berantai khususnya melibatkan kenaikan kos sara hidup dan kos perniagaan terutama sektor pembinaan yang mungkin akan memindahkan beban kenaikan kos itu kepada pembeli.
Pada masa ini, Malaysia mempunyai 900,000 pekerja asing yang bekerja dalam pelbagai sektor sedangkan jumlah tenaga kerja yang diperlukan ialah dua juta orang.
Malah, masalah kenaikan harga barangan asas seperti ayam dan sayur-sayuran yang dipengaruhi kesan kekurangan pekerja dijangka berterusan sehingga ke hujung tahun isu pembekuan itu tidak selesai.
PALING TERKESAN
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma), Dr. Sukumaran Nair berkata, perladangan dan pertanian adalah sektor paling terkesan apabila separuh tenaga kerja datang dari negara itu.
Kata beliau, sektor perladangan khususnya industri kelapa sawit rugi RM21 bilion pada tahun lalu kerana kekurangan penuai sawit dalam kalangan pekerja asing dan jumlah itu mungkin meningkat pada RM28 bilion tahun ini.
“Sektor pertanian memerlukan 250,000 pekerja asing dan kekurangan tenaga buruh menjadi punca kekurangan bahan makanan sehingga harga melambung tinggi,” katanya.
Kelmarin, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono memaklumkan negaranya menghentikan sementara semua proses berkaitan pengambilan pekerja dari negaranya di semua sektor ekoran timbul wujud salah faham dalam penggunaan sistem yang sudah dimeterai untuk digunakan sebelum ini.
April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia berhubung Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).
MOU PDI itu mengandungi empat elemen utama antaranya menggunakan hanya satu saluran tunggal kemasukan PDI atau OCS, menggunakan konsep Satu Amah Satu Rumah dan kos ditetapkan pada kadar maksimum RM15,000.
Sukumaran berkata, masalah kekurangan pekerja asing turut menyebabkan pelaburan langsung asing (FDI) merudum apabila mereka berhijrah ke negara lain mempunyai jumlah tenaga lebih tinggi.
“Isunya ialah bagaimana kita boleh melanggarnya sedangkan kita amat memerlukan tenaga buruh dari Indonesia,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan tidak menolak kemungkinan kos pembinaan akan naik 10 peratus jika masalah kekurangan pekerja gagal diatasi.
Katanya, pemaju dan kontraktor juga berdepan tindakan denda kerana gagal menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan.
“Akhirnya terkesan pengguna sendiri apabila kos tambahan itu diserapkan ke dalam harga hartanah. Kalau tidak buat demikian, kontraktor pula terpaksa tanggung kerugian,” katanya.
Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hoo menggesa kerajaan menghentikan penggunaan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (SMO) kerana ia menjadi punca Indonesia menghentikan proses bawa masuk pekerja dari negara itu. – UTUSAN









