Musim demam, Panadol habis - Utusan Malaysia

Musim demam, Panadol habis

BEKALAN Panadol Soluble yang terputus sejak beberapa bulan lalu di Perlis memberi kesan kepada orang ramai.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dalam musim orang ramai mengalami demam dan selesema, ketiadaan beberapa jenis ubatan asas khususnya Panadol Soluble yang terputus bekalan sejak beberapa bulan lalu sangat memberi kesan.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa farmasi termasuk kedai-kedai runcit di sekitar negeri ini mendapati bekalan Panadol Soluble sudah sekian lama tidak ada di sebalik permintaan terhadap ubatan tersebut sangat tinggi.

Beberapa jenis paracetamol atau ‘panadol’ biasa lain jenis 500mg dan ActiFast pula didapati kembali ada selepas turut mengalami putus bekalan sebelum ini.

Menurut seorang pekerja farmasi di Balai Baru, Beseri yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, pembekal sudah tidak menghantar bekalan ubat selsema jenis tersebut sejak beberapa bulan lalu.

“Ramai yang bertanyakan kenapa bekalan tersebut tiada. Mereka memaklumkan bekalan ubat larut air itu juga habis di beberapa lokasi lain di seluruh negeri,” katanya.

Seorang lagi pekerja farmasi di Arau yang enggan mendedahkan namanya berkongsi kepada Utusan Malaysia bahawa bekalan paracetamol khususnya jenis Panadol Soluble tidak pasti bila akan kembali berada di pasaran.

“Kami pun tidak pasti kenapa bekalan tersebut sudah sekian lama tidak ada sedangkan ubatan asas tersebut antara yang paling menjadi tumpuan. Sekarang ramai yang demam dan selesema yang memerlukan ubatan tersebut,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Mohd. Ali Azman, 32, berkata, kehabisan ubat selsema jenis larut air itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada orang ramai.

Katanya, orang ramai biasanya mendapatkan bekalan tersebut kerana ia mudah didapati dan lebih murah berbanding ubatan lain.

Seorang lagi pengguna, Anwar Arus, 36, pula berkata, paracetamol sangat penting dan diharap bekalan tersebut kembali berada di pasaran.

“Sejak minggu lalu, kami sekeluarga mengalami demam dan selsema namun apabila pergi ke farmasi atau kedai runcit, Panadol Soluble tidak ada. Terpaksalah kami ke klinik swasta sedangkan panadol sebenarnya sudah cukup untuk melegakan demam selsema ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN