KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) wajar dimansuhkan kerana dilihat tidak memberi manfaat dalam membantu merangka strategi pemulihan ekonomi negara.
Sebaliknya, majlis dipimpin bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dilihat cuba digunakan sebagai platform untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam hal-hal berkepentingan politik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Dr. Jeniri Amir berkata, sejak ditubuhkan pada September 2021, MPN tidak berperanan mengikut hala tujunya.
“Apakah cadangan yang pernah diutarakan MPN dan apakah manfaatnya kepada rakyat? Tiada.
“Majlis itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya, jadi boleh kita katakan pengerusi dan seluruh majlis tidak berupaya tangani isu yang diletakkan di bahu mereka untuk selesaikan masalah diamanahkan kerajaan.
“Dengan kata lain, kita perlu bertanya kewajarannya sama ada perlu dikekalkan atau tidak. Pada pendapat saya, MPN wajar dimansuhkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Penubuhan MPN bertujuan membantu kerajaan mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Kerajaan melantik Muhyiddin berdasarkan pengalaman beliau sebagai Perdana Menteri sewaktu negara mengalami kemuncak pandemik Covid-19.

Jeniri berkata, sejak penubuhan sehingga kini, tidak kelihatan usaha MPN ke arah pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Fokus Muhyiddin bukan lagi amanah yang diletakkan atas bahu beliau tetapi hanya mendesak jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Apakah jawatan itu menjadikan Malaysia lebih cekap atau akan membebankan? Muhyiddin sudah lari dari fokus dan agenda utamanya,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan pula berkata, MPN tidak lagi sesuai kerana negara sudah berada dalam fasa endemik.
“Ada dua faktor utama iaitu vaksinasi dan perpindahan negeri dari fasa satu, dua, tiga dan keempat.
“Vaksinasi sudah tamat sebab kita sudah capai apa yang dimatlamatkan. Jika dua komponen ini tiada dalam pelan pemulihan negara, maka kewujudan MPN sudah tidak relevan.
“Jika majlis itu tetap berfungsi, maka tidak terkejut jika ada orang menuduh pengerusinya menggunakan untuk agenda politik,” katanya.
Kata beliau, dengan adanya dua entiti baharu iaitu Pasukan Tindakan Khas Inflasi dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, menunjukkan MPN sudah tidak diperlukan. – UTUSAN











