Mohon segera Bantuan Raja Sehari - Utusan Malaysia

Mohon segera Bantuan Raja Sehari

MOHD. Fared Mohd Khalid (tengah) bersama-sama tetamu menunjukkan naskhah akhbar Utusan Malaysia sempena Korban Perdana, Penyampaian Bantuan Kasih dan Penyampaian Cenderahati Pelajar Cemerlang SPM DUN Semerah di Pusat Khidmat Rumah Orang Semerah , Batu Pahat disini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Anak jati Johor yang pertama kali berkahwin dialu-alukan memohon Bantuan Raja Sehari RM1,000 yang disediakan oleh kerajaan negeri.

Malah, pasangan bukan anak jati Johor, tetapi telah menetap lebih tiga tahun di negeri ini turut layak memohon bantuan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. khalid berkata, bantuan di bawah insentif Orang Muda Johor (OMJ) berkenaan diberikan kepada setiap pasangan pengantin yang pertama kali berkahwin dan berumur kurang 40 tahun dengan pendapatan bulanan bersama RM5,000 ke bawah.

“Bukan sahaja anak jati Johor yang boleh memohon. Jika pemohon bukan anak jati Johor tetapi sudah menetap di negeri ini melebih tiga tahun juga boleh memohon.

“Atau salah seorang antara pasangan berkenaan yang sudah menetap di Johor dalam tempoh berkenaan juga boleh memohon bantuan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Korban Perdana, Penyampaian Bantuan Kasih Bangsa Johor dan Penyampaian Cenderamata Pelajar Cemerlang SPM DUN Semerah di Rumah Orang Semerah, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md. Ali dan Setiausaha Majlis Perbandaran Batu Pahat, Abdul Karim Bakar.

Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, sejak diumumkan pemberian bantuan berkenaan April lalu, sebanyak 200 permohonan telah diluluskan.

“Sebanyak RM10 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi bantuan berkenaan dengan sebanyak RM6 juta bagi pasangan beragama Islam, manakala RM4 juta untuk pasangan bukan Islam.

“Saya alu-alukan pasangan yang baharu berkahwin supaya rebut peluang ini. Ini salah satu usaha kerajaan negeri bantu pasangan muda untuk bangkit memulakan hidup baharu selepas pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya, bagi menggalakkan lebih ramai yang memohon, pasangan boleh mengemukakan permohonan masing-masing menggunakan borang secara manual di pejabat kadi atau jabatan perpaduan.

Permohonan juga boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang atau Fecebook Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), katanya.

Pada program berkenaan, Mohd. Fared menyampaikan Bantuan Raja Sehari kepada sepasang suami isteri yang baru berkahwin dan cenderamata kepada 36 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya