Mekanik pengsan selepas dipukul ditemukan di tepi longkang - Utusan Malaysia

Mekanik pengsan selepas dipukul ditemukan di tepi longkang

TANGKAP layar yang menunjukkan seorang lelaki terbaring di dalam longkang dalam kejadian berhampiran bulatan Chempaka, Pengkalan Chepa, di sini, Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang duda berusia 59 tahun yang berasal dari Tawang, Bachok masih belum sedarkan diri selepas dipukul dalam kejadian berhampiran bulatan Chempaka, Pengkalan Chepa, di sini, Ahad lalu.

Ekoran itu, mangsa yang bekerja sebagai mekanik mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala ekoran kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd.Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 10.30 malam.

Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran lokasi kejadian dengan memakai baju t-shirt berwarna putih serta berkain sarung.

“Siasatan awal yang dijalankan, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu  dipercayai berlaku berpunca daripada perasaan tidak puas hati antara salah seorang suspek berkait tindakan mangsa.

“Mangsa kini, masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini dan terpaksa menggunakan alat pernafasan kerana belum sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 28 minit di laman sosial Facebook yang memaparkan seorang lelaki ditemukan terbaring dalam longkang dengan kesan kecederaan dipercayai diserang sekumpulan lelaki.

Mohd. Rosdi memberitahu, susulan itu dua lelaki dan dua wanita yang masing-masing berusia antara 28 hingga 35 tahun telah ditahan polis bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN