PETALING JAYA: Malaysia dan Bangladesh sepakat untuk mencari penyelesaian segera berhubung masalah pengambilan pekerja asing dari negara berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat Menteri Luar Bangladesh, Dr. A.K. Momen, di pejabatnya di Parlimen, semalam.
Di samping itu, beliau turut mengulangi kesediaan untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang dengan Bangladesh sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, tahun ini.
“Kerjasama itu merangkumi perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital di samping sumber manusia dan pekerjaan.
“Semoga hubungan Malaysia-Bangladesh kekal erat dan makmur,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Baru-baru ini, Ismail Sabri menggesa majikan mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja.
Katanya, pendekatan itu sebagai usaha mendepani isu dan cabaran pengambilan pekerja asing di samping mendengar keluhan pemain industri berkaitan pasaran buruh negara yang kini berdepan dengan kekurangan tenaga kerja asing yang kritikal. –UTUSAN ONLINE










