Lepas isi RON95, pemandu kereta Singapura cabut lari - Utusan Malaysia

Lepas isi RON95, pemandu kereta Singapura cabut lari

TANGKAP layar CCTV kenderaan Singapura yang mengisi minyak petrol bersubsidi RON95 di Johor Bahru, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan pemandu kereta mewah jenis Mercedes Benz bernombor pendaftaran Singapura berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah stesen minyak di sini ketika cuba ‘mencuri’ untuk mengisi petrol RON95.

Video berdurasi 70 saat yang tular dalam media sosial itu menunjukkan kejadian pada pukul 6.55 pagi itu di Taman Century, di sini semalam.

Menerusi perkongsian video itu, kelihatan seorang lelaki berbaju putih dengan sengaja mengangkat nozel berwarna kuning, iaitu minyak petrol RON95 untuk dituangkan ke tangki keretanya.

Tindakan lelaki tersebut disedari oleh pekerja di stesen minyak tersebut yang memberi isyarat kepada pekerja di kaunter untuk menghentikan tindakan tersebut.

Setelah menyedari perbuatannya diketahui, lelaki itu kemudian meletakkan semula nozel berwarna kuning sebelum bergegas meninggalkan stesen minyak tersebut.

Difahamkan, lelaki Singapura itu sempat mengisi 13 liter petrol RON95 dalam tempoh yang singkat sebelum beredar tanpa membuat pembayaran.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro ketika dihubungi memberitahu, pihaknya mengambil maklum tentang kejadian tersebut.

“Berhubung tindakan pemandu kereta bernombor pendaftaran Singapura yang melanggar peraturan itu, pihak kami akan menyiasat dan mendapatkan maklumat terlebih dahulu.

Beliau meminta orang awam sentiasa menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak KPDNHEP mengenai sebarang salah laku yang berkaitan.

Aduan boleh disalurkan, antaranya menerusi e-mel ke [email protected], talian WhatsApp 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi memberitahu bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang laporan dibuat mengenai perkara itu. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.