KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berjaya dihalang daripada cubaan membunuh diri dengan terjun dari atas Jambatan Sultan Mahmud di sini dalam satu kejadian, petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai insiden itu kira-kira pukul 5.48 petang.
Menurut beliau, setibanya sepasukan polis ke tempat kejadian, lelaki berusia 29 tahun itu sudah dipujuk oleh orang awam daripada terjun untuk diserahkan kepada pihak polis.
“Siasatan awal mendapati lelaki Melayu itu dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat daripada masalah peribadi.
“Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk pemeriksaan lanjut.
“Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu sebuah video berdurasi 15 saat tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki sedang berdiri di luar penghadang tepi sebuah jambatan di sini sambil dipujuk oleh orang awam. – UTUSAN