Larangan merokok tidak langgar hak asasi

Larangan merokok tidak langgar hak asasi

LANGKAH kerajaan mahu mewujudkan undang-undang larangan merokok kepada mereka yang lahir selepas 1 Januari 2007 dialu-alukan oleh pelbagai pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Larangan merokok kepada golongan yang lahir pada dan selepas 1 Januari 2007 tidak bercanggah dengan kebebasan asasi sebagaimana termaktub dalam Perkara 5 hingga 13 Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar perlembagaan daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, malah, larangan tersebut tidak mencabuli hak kesamarataan yang dijamin Perlembagaan.

Beliau berkata, penggubalan rang undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 yang bertujuan mengawal amalan merokok juga selaras dengan kuasa di bawah undang-undang Persekutuan menurut Jadual ke-9 berhubung dengan kesihatan.

KESIHATAN

Ini memandangkan telah terbukti menerusi laporan kesihatan bahawa merokok memberi kesan kepada kesihatan, bukan sahaja kepada perokok malah mereka yang terhidu asap rokok.

Kata beliau, faktor kesihatan awam merupakan alasan yang cukup kuat dalam penggubalan sekatan kepada mana-mana kumpulan umur, bahkan dalam hak kebebasan beragama juga menurut Perkara 11(5) boleh dikenakan sekatan jika melibatkan kesihatan awam.

“Dalam Perkara 8(2) yang disenaraikan bentuk diskriminasi iaitu agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang, tidak dinyatakan umur.

“Pada hakikatnya banyak diskriminasi umur yang dibenarkan dalam undang-undang negara kita sama ada dalam bentuk hukuman dan syarat kelayakan. Larangan diskriminasi yang tersenarai dalam Perkara 8(2) juga mempunyai pengecualian jika dibenarkan oleh Perlembagaan.

“Justeru, jika Perlembagaan tidak menghalang diskriminasi umur di bawah Perkara 8, maka tiada sebab orang yang lahir selepas 1 Januari 2007 tidak boleh untuk tidak dibenarkan merokok,” katanya  di sini semalam.

Semalam, Juruperunding Utama bagi kumpulan pemikir, Arunachala Research & Consultancy Sdn. Bhd. (ARRESCON), R. Paneir Selvam berpandangan, keputusan unilateral kerajaan melarang produk rokok, termasuk vape dan rokok, bagi mereka yang lahir selepas 2007, melanggar hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (FC) dan Akta Perlindungan Pengguna (CPA) 1999.

Beliau berkata, dengan meletakkan larangan menyeluruh terhadap individu yang dilahirkan selepas 2007, kerajaan telah mengelirukan dirinya sendiri dalam isu kesaksamaan, yang penting untuk sebarang perkara berkaitan pengguna.

KESAMARATAAN

Menjelaskan perkara itu, Ahmad Fauzi yang juga Pengasas Jurisprudens Watan dari UMP berkata, prinsip kesamarataan telah digariskan dalam kes Mahkamah Persekutuan Datuk Harun Idris  (1977) oleh Tun Suffian, yang mana satu daripada sembilan prinsip tersebut ialah peruntukan kesamarataan itu tidak mutlak, tidak semestinya suatu undang-undang itu hanya menjadi sah jika sifatnya seragam kepada semua orang dalam semua keadaan.

Beliau turut memberitahu, batasan tarikh kelahiran bagi maksud tertentu juga berlaku dalam undang-undang kewarganegaraan.

Sebagai contoh mudah, katanya, usia pencen perkhidmatan awam yang mana kesemuanya merupakan diskriminasi umur, tetapi bersifat diskriminasi positif.

Bagaimanapun, jelasnya, di bawah Perkara 8 termaktub diskriminasi yang tidak dibenarkan iaitu apabila memberi kelebihan atau kekurangan atas alasan rakyat raja bagi mana-mana negeri di Malaysia, atau diskriminasi pihak berkuasa awam disebabkan seseorang itu bermastautin atau menjalankan perniagaan di mana-mana bahagian Persekutuan di luar bidang kuasa pihak berkuasa itu.

Perkara 8(5) juga memperuntukkan pengecualian lain yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Justeru, katanya, semua ahli Parlimen iaitu sebagai pemimpin bertanggungjawab kepada rakyat sewajarnya memberikan sokongan penuh kepada RUU berkenaan.

“Tabiat merokok bukan sahaja menjejaskan kesihatan yang sudah terbukti, malah perbelanjaan untuk membiayai tabiat merokok dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan keluarga dan amalan sedekah, selain persekitaran menjadi lebih segar dan bersih tanpa asap dan putung rokok,” katanya.

“Cukup cukuplah kita berdolak-dalik isu rokok ini. Inisiatif Kawalan Produk Tembakau dan Merokok adalah amat bagus. Kita cuba untuk menjauhkan rokok ini daripada kanak-kanak yang tidak tahu erti ketagihan nikotin.

“Diharapkan rang undang-undang (RUU) ini akan mengurangkan beban negara apabila kebanyakan rakyat tidak merokok dan yang masih merokok harus berhenti beramai-ramai seterusnya memulakan gaya hidup sihat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN