KUALA TERENGGANU: Sebanyak lapan premis perniagaan musnah dalam kebakaran di Bazar Padang Hiliran di sini, malam tadi.
Kebakaran yang berlaku pada pukul 10.30 malam itu melibatkan kerugian keseluruhan kira-kira RM500,000.
Seorang peniaga kedai basikal, Nik Zamri Abu Bakar berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Tong, Setiu dekat sini.
“Saya menutup kedai pada pukul 10 malam untuk membantu isteri menyiapkan persiapan sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah, saya dimaklumkan kedai basikal saya sedang terbakar menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya ditemui di sini, hari ini.
Nik Zamri berkata, dia berpatah balik ke kedai basikalnya dan sebaik tiba dalam tempoh kira-kira 10 minit, premis perniagaannya itu sedang marak terbakar.
“Tiada apa-apa boleh dilakukan, selain pasrah dan reda selepas kedai basikal saya musnah 100 peratus akibat kebakaran itu,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Md. Hilman Abd Rashid berkata, seramai anggota bomba dengan kekuatan empat jentera telah dikejarkan ke lokasi kebakaran sebaik menerima maklumat pada pukul 10.43 malam.
Beliau berkata, kebakaran yang memusnahkan lapan lot premis termasuk kedai basikal, butik busana muslimah, kedai permainan dan aksesori wanita berkenaan berjaya dikawal dalam tempoh 38 minit.
“Siasatan awal, dipercayai kebakaran bermula dari belakang deretan lot kedai terbabit. Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. –UTUSAN ONLINE