Laluan khas lanjut pengajian bagi kanak-kanak lepasan institusi JKM - Utusan Malaysia

Laluan khas lanjut pengajian bagi kanak-kanak lepasan institusi JKM

ISMAIL Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara (MSN) 2022. - PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu pasukan khas diwujudkan dengan disertai agensi-agensi kerajaan bagi menyediakan laluan khas kepada kanak kanak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran mahupun akademik. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi tujuan itu, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan bertanggungjawab menyediakan dana pendidikan dan dana penempatan serta laluan kerjaya bagi kanak-kanak berkenaan.

Yayasan Kebajikan Negara (YKN) pula, kata beliau, menjadi penjamin  bagi membantu kanak-kanak lepasan institusi yang tiada dokumen dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara. 

“Kerajaan amat mengambil berat soal pemerkasaan kanak-kanak lepasan JKM bagi menjamin masa  depan golongan itu. Mereka yang berusia 18 tahun, lazimnya tidak lagi ditanggung JKM menyebabkan ada dalam kalangan mereka tercicir. 

“Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berperanan dalam menyediakan latihan serta  peluang pekerjaan selepas mereka tamat pengajian dan kesemua bantuan ini akan diselaraskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga  dan Masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara (MSN) 2022.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Gender Focal Team (GFT) juga bakal diwujudkan di setiap kementerian dan agensi dalam usaha meneroka potensi wanita dalam ekonomi dan mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif. 

Untuk itu, kata beliau, GFT akan mempunyai sekurang-kurangnya tujuh orang ahli bagi  mengkoordinasi dan melaksanakan inisiatif untuk mencapai  kesaksamaan gender.  

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat berkenaan turut menzahirkan kebimbangan terhadap kes  jenayah siber yang semakin meningkat apabila hampir 82,000 kes penipuan siber melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM2.21 bilion dilaporkan sejak 2016 sehingga 2021. 

“Menyedari tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan  masyarakat tentang risiko penipuan dalam talian, Inisiatif Pembangunan Pelan Induk Kesedaran Keselamatan Siber bagi Menangani Isu Penipuan Siber diwujudkan. 

“Ia bagi melahirkan warga siber yang berpengetahuan dan bertanggungjawab serta melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penjenayah siber,” katanya. 

Pada masa sama, kata Perdana Menteri, Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual (RUU AGS)  2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Julai lalu  membuktikan komitmen kerajaan dalam menangani isu gangguan seksual di negara ini.  –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya