Lagi pemilik, pengarah syarikat ditahan SPRM seleweng insentif Penjana Kerjaya - Utusan Malaysia

Lagi pemilik, pengarah syarikat ditahan SPRM seleweng insentif Penjana Kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua lagi individu terdiri pemilik dan pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai terlibat dalam penyelewengan Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya).

Penahanan kedua-dua suspek berusia 30 dan 40-an itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya sekali gus menjadikan jumlah tangkapan Op Hire sehingga kini seramai 42 orang.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, SPRM mendapatkan permohonan reman bagi kedua-dua mereka hari ini.

“Mereka akan ditahan bagi siasatan lanjut mengikut  Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan beberapa syarikat dan individu sudah berada dalam radar pihaknya dan kemungkinan akan ada lagi tangkapan lain selepas ini.

Jumaat lalu, seorang kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) antara tiga individu terbaharu ditahan SPRM selepas dipercayai terlibat dalam penyelewengan Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) sehingga RM100 juta.

Penahanan suspek yang juga berpangkat ketua kerani kanan berusia 41 tahun dipercayai meminta wang sogokan sejumlah RM5,000 daripada salah sebuah syarikat terlibat bagi membantu dalam urusan tuntutan program insentif pengambilan pekerja.

Minggu lalu, menerusi Op Hire di seluruh negara, SPRM dilapor menahan 37 individu yang dipercayai mengambil kesempatan menggunakan platform program Penjana Kerjaya untuk membuat tuntutan palsu.

Mereka yang ditahan terdiri pengarah, pemilik, pengurus dan jurutera-jurutera melibatkan 26 lelaki dan 11 wanita berusia antara 28 hingga 70 tahun daripada 64 buah syarikat berstatus sendirian berhad.

Modus operandi syarikat itu yang dikenal pasti SPRM yang sepatutnya membuat latihan dan mengaji pekerja dalam bidang industri, namun mengambil kesempatan mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana program berkenaan.

Majikan-majikan terlibat dipercayai mengambil data daripada orang luar atau berpakat dengan pembekal latihan untuk membuat tuntutan palsu dengan insentif yang ditawarkan itu.

Kebanyakan pekerja yang dikatakan bekerja dengan majikan-majikan berkenaan tidak pernah bekerja di syarikat terbabit.

Program Penjana Kerjaya merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal tahun 2020. 

Program ini dilaksanakan oleh Perkeso bagi tujuan merangsang ekonomi negara melalui perwujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya