KPDNHEP pantau rantaian bekalan barang kawalan dan subsidi  - Utusan Malaysia

KPDNHEP pantau rantaian bekalan barang kawalan dan subsidi 

AZMAN MOHD YUSOF (tiga dari kiri) memeriksa kenderaan asing yang ingin pulang ke Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar, Perlis di sini hari ini. - UTUSAN MALAYSIA/NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) giat memantau rantaian bekalan barangan kawalan dan bersubsidi seperti minyak masak, tepung gandum dan gula bagi mengesan penyelewengan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, pemeriksaan akan dilakukan di semua peringkat bermula daripada kilang sehingga ke pemborong dan peruncit.

Katanya, pengauditan akan dibuat bagi mengenal pasti peringkat penyelewengan.

“Barangan bersubsidi mempunyai kuota dan sekiranya sesetengah kawasan didapati mempunyai permintaan melebihi kuota, maka siasatan akan dilakukan.

“Kita akan lihat sama ada barang tersebut sampai kepada peruncit ataupun tidak. Sekiranya penyelewengan dikesan, tindakan akan diambil pihak yang terlibat dalam rantaian tersebut,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 115 kes penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi berlaku di sempadan negara melibatkan nilai rampasan sebanyak RM10.19 juta dari awal tahun hingga 31 Mei lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai video tular kenyataan Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar yang menyarankan orang ramai khususnya rakyat Melaka mengurangkan pengambilan telur berikutan kenaikan harga makanan berkenaan, Azman berkata, Norena mungkin mempunyai pendapatnya yang tersendiri, namun, mungkin cara penyampaiannya tidak dapat diterima oleh orang lain.

Katanya, kenaikan harga barang tersebut telah pun dibincang dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan, pengusaha serta mengambil kira sensitiviti rakyat.

“Kerajaan telah pun masuk campur dengan memperkenalkan subsidi pada telur. Jika tidak, harganya lebih tinggi lagi. Dalam hal ini, terpulang kepada pengguna untuk memilih telur mana yang masuk dibeli kerana terdapat banyak gred iaitu AA, A, B, C, D, E.

“Saya tak mahu kata kalau tak suka beli gred A, jadi kurangkan beli. Kita harap pengguna dapat membuat pilihan tadi tanpa memutuskan keperluan protien harian sesebuah keluarga,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya