Korban untuk arwah Hajar, Hans

Korban untuk arwah Hajar, Hans

ROSMAN Ahmad melihat gambar kenangan majlis pernikahan Allahyarham Hajar Nursyahirin dan suaminya, Amir Adam ketika ditemui di Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli keluarga Allahyarham Hajar Nursyahirin, 26, yang mati dibunuh suaminya pada 4 Julai lalu menyambut Hari Raya Aidiladha tahun ini secara sederhana sahaja kerana masih terkesan dengan tragedi menimpa arwah dan bayinya.

Bapa Allahyarham, Rosman Ahmad, 58, berkata, mereka akan menumpukan kepada melaksanakan ibadah korban dan bersedekah untuk Allahyarham dan bayinya, Hans Mohd. Thakif.

“Banyak pihak yang memberikan sumbangan kepada kami sekeluarga ekoran kejadian menimpa arwah dan anaknya. Jadi, kami gunakan wang sumbangan tersebut untuk melakukan ibadah korban.

“Harapannya agar pahala ibadah itu sampai buat arwah di sana,” katanya mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang tidak putus-putus mengucapkan takziah dan mengirimkan doa buat arwah anak dan cucunya.

ALLAHYARHAM HAJAR NURSYAHIRIN ROSMAN 

Dalam pada itu, Rosman berkata, Aidiladha kali ini juga berbeza kerana tiada lagi masakan rendang disediakan oleh Hajar.

“Biasanya setiap kali raya, memang dia yang masak rendang kerana itu sememangnya minat dan ada kemahiran memasak masakan itu.

“Untuk raya kali ini, saya minta salah seorang pekerja di kedai saya untuk memasak juadah berkenaan dan menghantar makanan yang siap di rumahnya pada malam menjelang hari raya,” ceritanya semasa ditemui di rumahnya di Taman Sentosa di sini semalam.

Rosman yang merupakan seorang tukang masak selama lebih 30 tahun berkata, walaupun mempunyai ahli keluarga di Gombak, Kuala Lumpur dan setiap kali hari raya akan beraya di ibu negara tetapi kali ini dia sekeluarga akan sambut di sini.

“Setiap tahun memang begitu, namun setelah kejadian ini, dan ia pun masih baharu, kami sekeluarga ambil keputusan untuk beraya di sini sahaja, berhampiran dengan arwah,” jelasnya yang mempunyai enam anak.

Dalam kejadian 4 Julai lalu, Hajar Nursyahirin dan bayinya ditemukan meninggal dunia di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari dengan kesan kelar di bahagian leher mereka dipercayai dilakukan suaminya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN