PETALING JAYA : Geran dan pembiayaan disediakan kepada koperasi sekolah yang mahu menceburi bidang pertanian bagi memupuk dan menggalakkan para pelajar untuk menceburi sektor agro tani sejak peringkat awal.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, inisiatif itu amat penting bagi memperluaskan kegiatan koperasi sekolah agar tidak tertumpu bidang perniagaan dan keusahawanan semata-mata.
Jelas beliau, malah langkah itu bakal membolehkan para pelajar melibatkan diri dalam sektor pertanian sebagai persediaan mereka pada masa depan di samping menjamin kesinambungan industri makanan yang amat penting buat masa sekarang.
“Selama ini, koperasi sekolah hanya tertumpu kepada peruncitan dan perniagaan, namun belum lagi melibatkan pertanian. Memandangkan sekolah banyak kawasan tanah, eloklah terlibat dalam pertanian.
“Malah harga bahan makanan semakin meningkat, jadi keperluan untuk pelajar menceburi bidang pertanian amat penting bagi menyokong penawaran dan permintaan pertanian.
“Oleh itu, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan menyediakan geran dan pembiayaan kepada koperasi sekolah berminat. Jadi mereka boleh membuat permohonan kepada kerajaan bagi melibatkan diri dalam sektor ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan Pidato Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan di Auditorium Dato’ A. Majid, Institut Koperasi Malaysia (Ikma) di sini semalam.
Menurut Noh, koperasi sekolah kini berkembang luas apabila terdapat sekolah yang berani melibatkan perniagaan hingga mencecah nilai jutaan ringgit selain terlibat dalam perniagaan mengedar barang dan dobi.
“Kita kena memupuk budaya keusahawanan sejak kecil lagi agar mereka tidak lagi bergantung kepada makan gaji semata-mata selepas keluar universiti kelak,” ujarnya.
Mengulas program itu, Noh berharap Ikma dapat memperluaskan aktiviti berbentuk debat dan kuiz bagi memupuk minat semangat berkoperasi dalam kalangan pelajar.
Katanya, pertandingan pidato berkenaan bukan untuk mempromosikan koperasi semata-mata tetapi juga mengetengahkan bakat generasi muda sebagai pelapis pembangunan negara melalui pembinaan keyakinan dan ketrampilan diri.
Terdahulu, sebanyak 118 peserta dari pelbagai sekolah di seluruh Malaysia menyertai pertandingan pidato dengan membawa tema “Koperasi Sekolah sebagai Pemangkin Pemimpin Generasi Muda Koperasi” dan 10 orang peserta melayakkan diri ke peringkat akhir.
Hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM 10,000 beserta sijil dan trofi berjaya dimenangi oleh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak, Erika Maisara Roslan.
Naib Johan dan tempat ketiga pula dimenangi oleh pelajar Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya, Izzah Athirah Mhd Idris dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Shahbandaraya Klang, C. Umashanchita.
Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 dan RM5,000 beserta sijil dan trofi.
Pertandingan debat itu julung kali diadakan oleh Ikma dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa) serta sokongan daripada Kementerian Pendidikan dan Majlis Amanah Rakyat (Mara). – UTUSAN