Konvoi seluruh Malaysia, Asia untuk perkenal Yamaha 135LC 1010 - Utusan Malaysia

Konvoi seluruh Malaysia, Asia untuk perkenal Yamaha 135LC 1010

JIM KHOR (empat dari kiri) bersama ahli Kelab Keluarga Besar Yamaha LC1010 pada Karnival Belia Dan Sukan 2022 Negeri Pahang di Padang Kemunting di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 180 penunggang motosikal Yamaha LC135 dengan nombor plat pendaftaran 1010 akan mengadakan konvoi seluruh Malaysia dan ke beberapa negara Asia bagi memperkenalkan kenderaan keluaran Yamaha itu yang hanya dikeluarkan dan dijual di negara ini. 

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries, Datuk Dr. Jim Khor berkata, konvoi Kelab Keluarga Besar Yamaha LC1010 itu akan memulakan perjalanan secara berperingkat bermula semalam. 

“Apa yang uniknya, Yamaha LC135 berwarna merah ini hanya dikeluarkan untuk dijual di Malaysia sahaja. Tiada di negara asia seperti Indonesia, Jepun, Vietnam dan Thailand seperti mana kebiasaan pasaran Yamaha.

“Selain itu, ia juga tertera nombor plat khas 1010 yang bermaksud “Perfect” atau sempurna bagi fengshui Cina. 

“Ketika ini, motosikal dengan nombor plat 1010 itu hanya ada sebanyak 180 buah sahaja di Malaysia dan pembeli perlu menunggu beberapa tempoh masa bagi menguruskan tempahan khas nombor plat ini, sebelum memiliki motosikal mereka. Sebab itu kita katakan kelab ini unik,” katanya ketika ditemui di gerai pameran Yamaha sempena Karnival Belia Dan Sukan 2022 Negeri Pahang, di Padang Kemunting di sini hari ini. 

Jim Khor yang juga Presiden Kelab Keluarga Besar Yamaha LC1010 itu berkata, konvoi itu akan diadakan setiap bulan bermula bulan ini sehingga selesai seluruh negeri dalam Malaysia sebelum ke Thailand, Vietnam dan Indonesia.

“Kesemua perjalanan peserta konvoi akan ditaja oleh Yamaha yang mana ia akan turut menampilkan keunikan negara Malaysia,” katanya. 

Beliau dalam pada itu berkata, motosikal Yamaha LC135 keluaran khas berwarna merah itu mempunyai dua model iaitu biasa dan model SE. 

“Model biasa dijual pada harga RM7,798 dan model SE beserta bakul berharga RM8,198,” katanya. 

Berhubung ahli kelab tersebut, beliau berkata, mereka terdiri daripada warga keluarga Yamaha membabitkan pekerja, penjual sah dan rakan kongsi perniagaan. 

“Kami tidak ada sasaran keahlian, tetapi tentunya kami mahu ramai ahli demi menjadikan kelab ini lebih kuat selepas ini,” katanya.  –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya