Konvensyen BN Selangor rumus resolusi hadapi PRU-15

Konvensyen BN Selangor rumus resolusi hadapi PRU-15

NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selain menghadapi pilihan raya akan datang, Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini bakal mengumpulkan pandangan secara terus dari pucuk pimpinan parti dan akar umbi yang akan dirumuskan sebagai satu resolusi.

Resolusi tersebut bakal menjadi asas kepada BN di negeri ini untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila rumusannya juga akan dijadikan sebahagian daripada manifesto.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, antara intipati konvensyen yang berlangsung hari ini turut melibatkan penganjuran forum dan bengkel bagi memperbaiki ekonomi negeri dan kepimpinan kerajaan.

PAKAR

“Kita anjur forum mengenai ekonomi yang menghimpunkan pakar daripada pelbagai kaum, kemudian bengkel dijadualkan berlangsung untuk membincangkan resolusi-resolusi khusus untuk ekonomi negeri.

“Daripada resolusi itu juga nanti akan jadikan sebagai manifesto Selangor untuk kita menghadapi PRU akan datang. Yang lebih penting adalah memastikan persiapan jentera pilihan raya dalam keadaan bersiap siaga,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Konvensyen BN Selangor hari ini bakal menyaksikan lebih 500 perwakilan daripada parti-parti komponen BN dari kesemua 22 Parlimen hadir.

Tiga pemimpin utama dijadualkan hadir memberikan amanat kepada keseluruhan anggota parti peringkat negeri itu seperti Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan merasmikannya serta Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang akan menyempurnakan penutupan.

Dalam konvensyen itu juga, empat bengkel dianjur untuk mengetengahkan topik seperti ‘Prospek Ekonomi Tergendala’, ‘Jalinan Rakyat Santuni Pengundi’, ‘Tawaran Kepada Pengundi Baru’ dan ‘Bedah Strategi Kempen dan Isu Negeri’.

Kesemua bengkel tersebut akan menampilkan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan; Ketua Wanita BN Selangor, Datuk Rosni Sohar; Timbalan Pengerusi Pemuda BN Selangor, Amin Shukor; Ketua Puteri Selangor Noor Salbiah Puteh dan Setiausaha BN Comms Pusat, Dazma Shah Daud.

Sehubungan itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi memaklumkan konvensyen akan menyentuh pembinaan kekuatan parti dan penyelesaian terhadap isu-isu rakyat yang disifatkan dekat dengan Kerajaan Persekutuan.

“Masalah di Selangor, kita kena ingat isunya berkaitan dengan Persekutuan. Senang cakap dahulu Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya) itu asalnya Selangor. Kemudian bila pecah, apa juga yang berlaku di sana akan sampai kepada Selangor.

“Cuma, apa yang kita buat baik di peringkat Persekutuan, rakyat Selangor pun tetap nampak macam kerajaan Selangor yang beri. Kita buatlah bagi sumbangan, kebajikan dan macam-macam, tetapi mungkin rakyat Selangor lihat seolah-olah tiada beza Selangor dengan persekutuan.

MUDA

Tambahnya lagi, BN Selangor juga bersedia mencadangkan tokoh-tokoh muda dan diseimbangkan dengan tokoh berpengalaman sebagai calon dalam PRU-15 nanti.

“Memang kita akan cari tokoh-tokoh muda. Tetapi sebenarnya tokoh muda atau yang berpengalaman sebenarnya kena bersama-sama.

“Kita di Selangor dari dahulu pun memang ramai kita calonkan tokoh-tokoh muda, ramai. Setiap kali pilihan raya kita tak pernah lupakan tokoh-tokoh muda, kita tentukan, ujarnya,

Dalam pada itu, Noh menolak isu kontroversi pernah ‘mengusik’ BN Selangor seperti kemunculan semula bekas Menteri Besar, Dr. Mohd. Khir Toyo dan ‘poster boy’ Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjadi topik dalam konvensyen.

Menurutnya, isu tersebut tidak menjejaskan kepimpinan BN di negeri ini dan perjalanannya memasuki PRU-15. “Isu kontroversi seperti Tengku Zafrul tak ada kena mengena, itu politik, tak kontroversi. Kekuatan politik ini bukan bergantung kepada seseorang, sebaliknya kesatuan dan perpaduan anggota,” jelasnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN