KUANTAN: Seramai 12 graduan anak Pahang dipilih menyertai program ‘Pahang Talent’ bagi menjalani latihan di bawah bimbingan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) dan Menteri Besar di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua mereka akan menimba ilmu dan pengalaman serta mendapat pendedahan dalam industri secara langsung.
Menurutnya,12 graduan terbabit akan menjalani latihan secara praktikal berdasarkan skop kerja yang tertentu mengikut portfolio exco masing-masing selama 12 bulan.
“Program julung kali ini secara keseluruhannya berjaya mengumpul 400 graduan (2021/2022) dari pelbagai pusat pengajian termasuk dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Permata Pintar, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Namun, hanya 12 calon yang telah terpilih menjalani program ini melalui beberapa fasa saringan dan pemilihan sejak April lalu.
“Mereka ini merupakan yang terbaik apabila berjaya melepasi tiga peringkat saringan iaitu Ujian Profil Psikologi dan DNA Yayasan Pahang; Program Penilaian Simulasi (mengenal pasti Decision Making Skills, Event Management Skills, Critical Thinking Skills dan Interpersonal Skills); serta melalui proses temuduga,” katanya dalam sidang media sempena majlis penyerahan surat lantikan ‘Pahang Talent’ di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, sepanjang tempoh program tersebut setiap graduan terbabit menerima insentif bulanan RM2,500.
Jelasnya, selepas tamat latihan industri selama 12 bulan, mereka berpeluang mendapat pekerjaan di anak-anak syarikat berkaitan di negeri ini.
“Jika prestasi sepanjang mengikuti program ini cemerlang, maka mereka akan diserap di mana-mana agensi dan anak syarikat kerajaan negeri… jadi prestasi adalah sangat penting.
“Saya berharap agar kesemua 12 calon yang telah terpilih ini memanfaatkan peluang dan ruang untuk mengembangkan potensi diri masing-masing,” katanya. –UTUSAN ONLINE










