PUTRAJAYA: Keputusan tawaran bagi kemasukan ke tingkatan enam tahun 2022 akan diumumkan pada 7 Julai ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, para pelajar lepasan SPM tahun 2021 boleh membuat semakan keputusan tawaran dan pendaftaran kemasukan ke tingkatan enam melalui dua kaedah.
Ia boleh dibuat secara dalam talian menerusi aplikasi dalam talian tingkatan enam di pautan https://sst6.moe.gov.my/ atau melalui sekolah asal masing-masing jika tidak mempunyai capaian internet.
Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak menerima tawaran, rayuan boleh dikemukakan melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ mulai 7 hingga 24 Julai.
“Bagi murid yang tidak mempunyai capaian internet pula, rayuan boleh dibuat melalui sekolah masing-masing,” katanya hari ini.
KPM berkata, keputusan permohonan rayuan pula akan dimaklumkan pada 1 Ogos depan melalui portal sama atau pihak sekolah masing-masing.
“Murid yang ditawarkan ke Tingkatan Enam perlu melapor diri pada 25 Julai ini di Kolej atau Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran.
“Bagi ambilan rayuan, tarikh lapor diri adalah pada 2 Ogos depan,” katanya. –UTUSAN ONLINE