PETALING JAYA: Tindakan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang hanya akan mengumumkan keputusan pindaan Perlembagaan UMNO dua minggu lagi sedikit sebanyak menjejaskan persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam Datuk Adnan Seman menjelaskan, kelewatan itu disebabkan RoS memerlukan masa untuk meneliti maklumat tambahan mengenai permohonan pindaan mengadakan pemilihan parti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.
Namun, katanya, RoS seharusnya memahami kedudukan UMNO yang mungkin perlu mengadakan pemilihan dalam masa terdekat jika pindaan tidak diluluskan, selain berdepan PRU15.
“Memang benar RoS meminta UMNO untuk menghantar maklumat-maklumat tambahan berhubung pindaan perlembagaan parti, tetapi RoS pun kena tahu kepentingan menyegerakannya ketika ini.
“Keputusan segera amat penting bagi UMNO merencanakan langkah seterusnya, sama ada perlu mengadakan pemilihan atau tidak,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Disebabkan itu, katanya, soal mengadakan pemilihan parti bergantung kepada keputusan RoS.
“Segeralah buat keputusan, faham keperluan UMNO. Kalau tidak lulus pindaan Perlembagaan ini, ia akan mengganggu persiapan parti.
“UMNO perlu buat persiapan kalau perlu diadakan pemilihan, jadi segeralah putuskan, masa sedang berjalan,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjangkakan RoS membuat keputusan terhadap pindaan perlembagaan parti dalam tempoh dua minggu lagi.
Katanya, jangkaan itu disebabkan RoS memerlukan masa untuk meneliti tujuh maklumat tambahan yang diberikan sebelum membuat keputusan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pindaan itu sudah diluluskan oleh RoS kerana partinya sudah mengikut segala prosedur bagi mengusulkan pindaan itu.
Sebelum ini, RoS memaklumkan keputusan permohonan pindaan perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya 16 Julai lalu. – UTUSAN










