PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan mengesahkan bahawa operasi sebuah kelab komedi di ibu negara yang digantung sementara baru-baru ini memang tiada lesen hiburan.
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, lesen premis di Taman Tun Dr. Ismail itu yang diluluskan pada 2018 lalu hanya untuk operasi restoran dan jualan minuman keras.
“Ia masih sah sehingga kini, namun, premis tiada lesen hiburan, padahal pengusaha seumpama itu perlu ada lesen hiburan terlebih dahulu sebelum beroperasi,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau merujuk tindakan penggantungan sementara operasi kelab itu yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad lalu susulan isu tular persembahan hina Islam.
Bagaimanapun, wanita tersebut didakwa di sebuah mahkamah di ibu negara hari ini dan dia juga disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.
Notis DBKL itu dikeluarkan di bawah Seksyen 101(1)(V) Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta penggantungan operasi kerana tiada lesen hiburan selaras Seksyen 17 Akta Hiburan 1992.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, premis itu beroperasi tanpa lesen sejak 2014 hingga 2017 malah pengusaha gagal mematuhi pelbagai keperluan setiap kali permohonan dibuat.
“DBKL akan terus mempergiatkan operasi bagi mengekang aktiviti haram dan pelanggaran undang-undang di premis hiburan yang berada di Kuala Lumpur sepanjang masa,” tegasnya. –UTUSAN ONLINE










