KOTA BHARU: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang menunggu laporan daripada agensi-agensi di bawahnya bagi membolehkan kajian terperinci dijalankan bagi mencari punca berlakunya kepala air di Baling, Kedah baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, satu jawatan kuasa yang terdiri daripada agensi-agensinya termasuk Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah dibentuk untuk meneliti perkara tersebut.
“Saya minta agensi-agensi terlibat menghantarkan laporan kepada saya selewat-lewatnya petang ini supaya perkara ini dapat dibincangkan dalam konteks KASA.
“Antara perkara yang ingin kita tengok adalah punca kejadian kepala air sama ada ia hasil dari kolam takungan air yang pecah atau sebagainya,” katanya ketika ditemui di majlis Jamuan Rakyat Aidiladha Parlimen Kubang Kerian di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim memberitahu, satu lawatan ke Baling dilakukan baru-baru ini untuk melihat sendiri insiden berkenaan.
Katanya, KASA mendapati sememangnya terdapat banyak kolam takungan air untuk pertanian serta anak sungai di kawasan terbabit dan berkemungkinan situasi itu akan berlaku seperti mana di Janda Baik (Pahang) dan Yan (Kedah).
“Kita dapati ada dua kemungkinan yang menyebabkan berlakunya kejadian kepala air. Satunya adalah berlaku hujan terlalu lebat di sesuatu kawasan sehingga menyebabkan tebing-tebing sungai runtuh.
“Keduanya adalah kemungkinan tanah-tanah yang mengalir turun bersama air hujan menutupi laluan air sungai di bahagian hulu lalu membentuk takungan besar dan tidak mampu bertahan dan turun serentak. Oleh itu kita perlu tunggu laporan sebelum buat apa-apa keputusan,” ujarnya.
Tambahnya, kejadian kepala air itu disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa berikutan taburan hujan pada ketika itu hanya 60 milimeter (mm).
Berhubung permohonan penukaran komponen tanaman di ladang hutan Gunung Inas, Ibrahim memaklumkan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) diluluskan pada Julai 2013.
“Sesuai dengan kelulusan itu, kita bersetuju melaksanakan penukaran penanaman getah bagi menggantikan pokok balak.
“Tanaman lain tiada didalam kelulusan EIA berkenaan. Walaupun begitu, pemantauan terhadap penanaman perlu sentiasa dibuat,” katanya. –UTUSAN ONLINE










