Kalau PH gagal, kerajaan sekarang berjayakah? - Utusan Malaysia

Kalau PH gagal, kerajaan sekarang berjayakah?

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ‘Dua kali lima’.

Itu kenyataan yang disifatkan oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, terhadap kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berhubung isu defisit kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, sekiranya PH bakal menghadapi defisit kepercayaan daripada rakyat hanya kerana gabungan itu gagal menguruskan kesepaduan semasa menjadi kerajaan, BN dan PN turut berdepan situasi sama malah keadaan menjadi semakin teruk dan tidak terurus.

“Kalau kami dianggap gagal selama 22 bulan mentadbir, sekarang bagaimana? Berjayakah kerajaan apabila keadaan sekarang menyaksikan kos sara hidup dan inflasi meningkat, tenaga kerja berkurang, nilai mata wang ringgit menyusut?

“Lihat sahaja bagaimana kerajaan mengurangkan subsidi ayam, telur dan minyak berbotol. Apabila kerajaan pulangkan kepada rakyat, hanya tunai sejumlah RM100 dan RM50 yang pasti tidak cukup.

“Kalau masa itu ada defisit kepercayaan pada PH, saya rasa jurangnya lebih besar apabila pengurusan mereka lebih teruk dan orang ramai tidak lagi percaya jika kerajaan boleh menyelesaikan masalah rakyat,” kata ahli Parlimen Bagan itu ketika dihubungi semalam.

Bekas Setiausaha Agung DAP itu berkata, PH sepatutnya dapat memenuhi setiap janji jika mempunyai masa cukup untuk mentadbir.

Namun, Langkah Sheraton pada Februari 2020 menyebabkan mereka tidak berpeluang meneruskan segala rancangan untuk rakyat dan negara.

“Memang ada beberapa perkara yang belum diselesaikan kerana kami tidak mempunyai masa cukup. Tetapi, apa yang kita capai dan tidak capai, tidaklah teruk berbanding kerajaan lakukan sekarang.

“Semasa PH mentadbir, mana ada harga barang naik dan nilai ringgit menyusut. Ia hanya berlaku sekarang. Jadi, kita harus tunggu dan lihat sahajalah. Apa-apa kajian tidak semestinya tepat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN