Kadar subsidi elektrik dipapar dalam bil pengguna mulai Ogos - Utusan Malaysia

Kadar subsidi elektrik dipapar dalam bil pengguna mulai Ogos

TAKIYUDDIN Hassan (dua dari kiri) melawat tapak pameran pada program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (zon tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di Trong, Bukit Gantang hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Kadar subsidi yang hendak dibayar kerajaan bagi tarif penggunaan elektrik akan dipaparkan dalam akaun bil pengguna mulai bulan depan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu dilaksanakan sebagai penjelasan kepada rakyat yang selama ini tertanya-tanya mengenai pemberian subsidi tarif elektrik.

“Ramai yang bertanyakan mengenai subsidi tarif elektrik ini kerana sebelum ini mereka tak nampak.

“Sebab itu, mulai Ogos ini, pengguna akan jelas melihat berapakah subsidi kerajaan yang diterima kerana ia akan tercatat pada bil tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (zon tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di Padang Dewan Serbaguna Sungai Kerang dekat Trong di sini hari ini.

Menurut Takiyuddin, rakyat perlu tahu bahawa kerajaan ketika ini bukan sahaja terpaksa menanggung kos tambahan bagi penjanaan elektrik, tetapi, masih mampu memberikan rebat bagi mengurangkan beban pengguna.

Katanya, kos penjanaan elektrik bagi Januari hingga Jun tahun ini mencecah RM7 bilion dan daripada jumlah itu, kerajaan menanggung RM5.8 bilion manakala RM1.2 bilion diagihkan kepada industri-industri besar.

“Jadi, rakyat kena bersyukurlah, elektrik ini hanya dibayar ikut keperluan penggunaannya sahaja. Kos elektrik ini sudah pun disubsidi oleh kerajaan,” katanya.

Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan kadar pelepasan kos -kos tidak seimbang (ICPT) kepada semua pelanggan di Semenanjung bagi tempoh mulai Julai hingga berakhir Disember 2022. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya