PETALING JAYA: Kali terakhir anak kepada Bekas personaliti TV3, Zalina Azman berhubung dengan ibunya adalah pada Julai tahun lalu.
Anak tunggal kepada personaliti itu, Mikhael Norman, bagaimanapun cuba menghubungi ibunya semula pada November lalu untuk memaklumkan tentang datuknya yang dimasukkan ke hospital tetapi Zalina gagal dihubungi.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, hubungan anak personaliti berkenaan dengan ibunya dikatakan tidak terlalu rapat memandangkan dia dijaga oleh neneknya sejak berusia dua tahun.
“Zalina dipercayai berpisah dengan suami pertama sebelum berkahwin lagi selepas itu tetapi hubungan berkenaan juga tidak bertahan lama,” kata sumber itu.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia cuba mencari dan menghubungi anaknya bagaimanapun gagal setakat ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bekas personaliti TV3 berkenaan yang dilaporkan hilang dipercayai masih berada di dalam negara.
Ia susulan semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati tiada pergerakan ke luar negara oleh Zalina.
Isnin lalu, berita kehilangan personaliti berkenaan dikongsikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam satu kenyataan.
Maklumat kehilangan itu turut dipaparkan di laman Facebook rasmi IPD Shah Alam.
Dalam laporan berkenaan, Zalina disifatkan berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan beralamat akhir di Seksyen 3, Shah Alam, Selangor.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan memaklumkan laporan kehilangan wanita itu telah dibuat keluarga sejak 29 November tahun lalu.
Dalam laporan sama, anak Zalina dikatakan cuba menjejaki ibunya untuk memaklumkan tentang bapanya yang dimasukkan ke hospital.
Anak Zalina dan bapa saudaranya pergi ke rumah ibunya berlokasi di Seksyen 3 dan mendapati keretanya berada di tepi rumah.
Anaknya mendapati keadaan dalam rumah tidak tersusun dan menemukan beg duit mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, kunci kereta serta wang tunai berjumlah RM600 milik Zalina. –UTUSAN ONLINE