Jangan ambil jalan mudah perihal Stadium Shah Alam -Noh

Jangan ambil jalan mudah perihal Stadium Shah Alam -Noh

stadium shah alam
DALAM tempoh 10 tahun kebelakangan ini, penyelenggaraan Stadium Shah Alam didakwa terabai apabila sedikit demi sedikit kerosakan dialaminya sehingga menyakitkan mata. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan negeri Selangor diingatkan supaya tidak mengambil jalan mudah meruntuhkan Stadium Shah Alam atas alasan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Menurut Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar,  sebagai anak Selangor, stadium tersebut mempunyai nilai sentimental kepada dirinya dan juga rakyat negeri ini.

stadium shah alam
NOH OMAR

“Mengapa perlu diruntuhkan Stadium Shah Alam atas alasan kos penyelenggaraan yang tinggi. Semasa awal kewujudan stadium tersebut pada tahun 1993, saya turut terlibat bersama pemimpin sukan negeri seperti Tan Sri Zainal Dahlan dan Datuk Aziz Desa untuk membuat persediaan awal mewujudkan stadium tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adakah perlu setiap kali kerajaan negeri bertukar, sesuatu peningggalan kerajaan negeri terdahulu ditukar dan diruntuhkan. Sudah dua tiga penggal menjadi kerajaan selenggarakanlah dengan baik stadium besar tersebut,” katanya pada Program Qurban Perdana Parlimen Tanjong Karang hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata, pihaknya akan mengumumkan perancangan lanjut pihak kerajaan negeri sama ada mengekalkan stadium itu atau sebaliknya.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) berkata, beliau melalui kementeriannya sanggup membantu kerajaan negeri untuk mewujudkan aktiviti perniagaan yang menjana keuntungan di Stadium Shah Alam.

ADS:D

Katanya lagi, kerajaan negeri sewajarnya meningkatkan pendapatan stadium tersebut, bukannya mengeluh tentang kos penyelenggaraan yang tinggi hingga mengambil tindakan drastik seperti meruntuhkan sebuah stadium yang bernilai jutaan ringgit.

“KUSKOP boleh membantu kerajaan negeri untuk memastikan Stadium Shah Alam dapat terus dikekalkan dengan memajukan kawasan stadium.

“Kita sedia membantu mewujudkan kegiatan komersial yang boleh menjana pendapatan stadium sekali gus boleh menampung kos operasi stadium tersebut. Jangan diruntuhkan stadium yang ikonik hanya kerana kos penyelenggaraan yang dianggap tinggi,”katanya.

Mengulas mengenai program tersebut Noh berkata, sebanyak 34 ekor lembu dikorbankan dan akan diagihkan di kawasan parlimen tersebut. –UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN