Jambatan sementara Kampung Iboi dibina - Utusan Malaysia

Jambatan sementara Kampung Iboi dibina

KAKITANGAN Bahagian Jalan dan Cawangan Kerja Mekanikal JKR Kedah sambil dibantu 10 anggota RAJD sedang memasang jambatan sementara di Kampung Iboi, Kupang. -UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Jambatan sementara bagi menggantikan fasiliti itu yang roboh akibat tragedi kepala air dan banjir lumpur mula dibina di Kampung Iboi, Kupang sejak petang semalam.

Jambatan bailey sepanjang 27.43 meter dan lebar sehingga 5.49 meter itu mampu menampung ketahanan kenderaan sehingga berat lima tan bagi satu hala.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, laluan itu dijangka siap esok sebelum ia boleh digunakan serta-merta oleh penduduk.

“Seramai 20 orang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) sambil dibantu 10 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) ditugaskan untuk menyiapkan jambatan itu.

“Jambatan bailey ini akan berada di lokasi itu sehingga pembinaan jambatan baharu selesai dibuat kelak,” katanya di sini, hari ini.

Dalam tragedi Isnin lalu, jambatan yang menghubungkan penduduk untuk menyeberangi Sungai Kupang roboh sehingga struktur binaan itu hanyut lebih 50 meter daripada kedudukan asal akibat dibadai aliran air deras.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Iboi, Abu Hasan Samah berkata, penduduk berterima kasih kepada kerajaan yang segera memasang jambatan sementara itu.

Katanya, penghubung utama mereka untuk berulang-alik melintasi sungai berkenaan amat penting bagi memudahkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah selain untuk ke masjid.

“Selain Kampung Iboi, laluan ini juga digunakan penduduk Kampung Bok Bak, Kampung Tanjung Luas, Kampung Tanjung Nering dan Kampung Masjid Iboi yang memiliki kira-kira 3,000 penduduk.

“Jika tiada jambatan ini, penduduk perlu guna jalan lebih jauh untuk hantar anak mereka ke sekolah sedangkan jika ikut jambatan ini hanya lima ke enam minit sahaja,” katanya.

Penduduk Kampung Iboi, Nor Atikah Ramli, 27, berkata, selain terpaksa mengambil masa dengan menggunakan jalan lain di Kuala Kuang, laluan tersebut juga gelap dan sunyi pada waktu malam.

“Kami terutama golongan wanita ini lega apabila jambatan sementara ini dibina dengan cepat kerana ia sangat memudahkan kami pergi ke rumah penduduk di seberang sungai,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Mohamad Noor Abdul Rahman, 63, berharap jambatan kekal yang akan dibina nanti lebih kukuh dan besar.

“Jumlah penduduk dan kenderaan di kawasan perkampungan di sini semakin bertambah yang mana kami memerlukan jambatan yang lebih besar,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN