Jadual padat lawatan Menteri Luar China bukti hubungan kukuh - Utusan Malaysia

Jadual padat lawatan Menteri Luar China bukti hubungan kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lawatan kali kedua Menteri Luar China, Wang Yi ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini membuktikan hubungan kukuh antara kedua-dua negara berkenaan.

Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, beliau yang juga merangkap Penasihat Negara itu akan turut membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

“Kali terakhir pemimpin tersebut mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia ialah dua tahun lalu iaitu 12 sehingga 13 Oktober 2020 setelah pernah datang ke negara ini pada 2018,” katanya.

Beliau turut dijadualkan melaksanakan sembah menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Kenyataan Wisma Putra menambah, Wang Yi juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Bangunan Perdana Putra di sini.

Mesyuarat dua hala antara Saifuddin dan Wang Yi esok pula bakal membincangkan pelbagai bidang kerjasama dan isu dua hala antaranya meliputi sektor perdagangan dan pelaburan.

Begitu juga teknologi tinggi, ekonomi digital, pengajian tinggi, kerjasama vaksin Covid-19 serta pemulihan selepas pandemik selain isu serantau dan sejagat yang berkepentingan bersama.

“Hubungan Malaysia-China terus diperkukuh dan diharmonikan sejak peningkatan status jalinan diplomatik kepada tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013 lalu,” katanya.

Secara kebetulan, kedua-dua negara tersebut ujar Wisma Putra, akan menyambut ulang tahun ke-10 pelaksanaan taraf hubungan berasaskan perkongsian berkenaan pada tahun depan

Sejak 2009, China ialah rakan dagang terbesar Malaysia dan tahun lalu, ia bernilai RM421 bilion, iaitu 18.9 peratus daripada keseluruhan dengan pertambahan 27 peratus berbanding 2020. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya