Isu tuntutan Sulu: Pejabat Peguam Negara perlu beri penjelasan telus  - Utusan Malaysia

Isu tuntutan Sulu: Pejabat Peguam Negara perlu beri penjelasan telus 

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pihak kerajaan khususnya Pejabat Peguam Negara perlu tampil memberi penjelasan yang lengkap dan telus tentang isu tuntutan pampasan tertunggak waris Kesultanan Sulu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu perlu dilakukan kerana rakyat berhak untuk mengetahui perkara sebenar. 

Beliau berkata, penjelasan rasmi itu mestilah dengan telus tanpa berbaur politik dan tanpa diolah mengikut kepentingan pihak-pihak tertentu.

“Ada yang menyalahkan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) kerana menghentikan bayaran sebelum ini sehingga menyebabkan berlakunya tunggakan. 

“Tidak kurang yang berhujah bahawa tuntutan semula tersebut berpunca daripada kecuaian dan tindakan Pakatan Harapan (PH) semasa 22 bulan mereka memerintah yang sengaja membuka semula ruang tuntutan.

“Setiap pihak mempunyai perspektif dan versi masing-masing. Ada yang bersandarkan fakta dan ada yang sekadar merujuk kepada kompilasi laporan akhbar dan kenyataan-kenyataan pemimpin sebelum ini.

“Kesemua ini sudah tentulah mengelirukan rakyat. Kita tidak tahu versi manakah yang harus dipegang. Paling penting, versi mana satukah yang benar dan terpakai. Tidak ada cara lain yang lebih absah dan sahih melainkan kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, alternatif yang boleh dipertimbangkan adalah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Jelasnya, RCI adalah forum paling neutral dan terbuka dalam meneliti serta mencari kebenaran dalam isu-isu berkepentingan nasional.

“Kita mempunyai pengalaman menggunakan RCI dalam banyak isu nasional. Misalnya RCI pada tahun 2012 berkenaan isu pendatang haram di Sabah, RCI tahun 2018 berkaitan penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis serta RCI tahun 2022 berkenaan pengurusan dan operasi Tabung Haji.

“Biar apa pun instrumen dan pendekatan yang dipilih oleh kerajaan akhirnya, matlamat dan fokus utama kita adalah memberikan maklumat dan pencerahan yang lengkap dan selayaknya kepada masyarakat awam,” katanya. 

Mohamed Khaled menegaskan, kegagalan berbuat demikian pasti akan menyemarakkan perbalahan dalam kalangan banyak pihak, terutamanya mereka yang tidak akan berhenti mengeluarkan versi dan dakwaan masing-masing tentang perkara tersebut.

“Lebih penting, seperti yang pernah kita alami dan saksikan sebelumnya, isu ini berpotensi menjadi ancaman keselamatan yang serius.

“Justeru, adalah kritikal untuk kerajaan melihat semua ini dalam konteks yang besar, berani dan profesional. Bersuaralah dan berilah pencerahan. Demi negara,” katanya.  –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.