Individu fitnah syarikat perancang perkahwinan dituntut mohon maaf - Utusan Malaysia

Individu fitnah syarikat perancang perkahwinan dituntut mohon maaf

AZUAN Abdul Khair dalam sidang akhbar mengenai tuduhan dalam laman sosial terhadap syarikatnya di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Syarikat perancang perkahwinan, Ayu Wedding Planner & Catering memberi tempoh tujuh hari kepada beberapa pemilik akaun Facebook, Twitter dan Instagram agar membuat permohonan maaf dan memadam hantaran dalam media sosial berhubung dakwaan perkhidmatan mengecewakan yang disediakan syarikat itu.

Pemilik syarikat itu, Azuan Abdul Khair menafikan dakwaan yang dibuat pemilik akaun Facebook, Nazihah Azizul dan twitter @Mulut_Cabai bahawa syarikat itu tidak menyediakan tempahan makanan yang mencukupi bagi 600 tetamu untuk satu majlis perkahwinan.

“Pada majlis itu, tempahan makanan hanya untuk 600 orang sahaja, tetapi, pihak kami bagi percuma untuk 100 orang, tetapi, tetamu yang hadir melebihi jumlah itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, tuduhan tidak berasas itu dibuat oleh kakak kepada seorang pelanggannya melalui laman sosial Twitter, Facebook dan Instagram.

Azuan berkata, reputasi syarikatnya terjejas akibat tuduhan itu sehingga ada beberapa pelanggan yang membatalkan tempahan untuk majlis perkahwinan pada tahun ini dan tahun depan.

“Ramai yang buat pertimbangan untuk batalkan tempahan untuk majlis perkahwinan mereka pada tahun ini dan tahun hadapan.

“Pelanggan yang membatalkan tempahan adalah mereka yang mahu melangsungkan perkahwinan pada bulan September hingga Mac tahun hadapan,” katanya.

Menurutnya, dia telah membuat laporan polis berhubung tuduhan dalam laman sosial itu pada 7 dan 8 Julai lalu dengan tujuan untuk membersihkan namanya dan nama syarikatnya.

“Saya telah melantik peguam untuk mengkaji kes ini dari segi undang-undang,” katanya.

Katanya, dia juga yakin individu yang membuat hantaran terbabit bukan pelanggannya.

“Selama 15 tahun menjalankan perniagaan, ini kali pertama perkara sebegini terjadi, saya percaya individu yang membuat hantaran di Facebook Instagram dan Twitter itu bukan pelanggan saya,” katanya.

Peguam yang mewakili syarikat itu, Syakira Khair, dia dan tiga lagi peguam telah dilantik untuk mengkaji tindakan undang-undang berhubung dakwaan terhadap Ayu Wedding Planner.

“Kami dilantik untuk kaji tindakan kenyataan yang dibuat oleh pihak responden dari segi undang-undang.

“Selepas membuat kajian itu memang ada unsur fitnah di mana tindakan undang-undang boleh diambil,” katanya.

Menurut Syakira, kelmarin pihaknya sudah membuat surat tuntutan pada pihak berkenaan untuk menarik semula hantaran dalam media sosial dan permohonan maaf.

“Sehingga hari ini, masih belum ada jawapan, kami bagi tempoh tujuh hari. Jika masih tiada jawapan, kami akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Hantaran di Twitter @Mulut_Cabai mendakwa syarikat perancang perkahwinan Ayu Wedding Planner tidak menyediakan makanan yang mencukupi bagi 600 tempahan kerana tetamu yang hadir hampir 1,000 orang.

Menerusi hantaran itu, dikatakan syarikat tersebut juga menyediakan lauk yang sedikit dan habis seawal pukul 1 petang sehingga pihak keluarga pengantin terpaksa membeli lauk.

Katanya, cenderamata yang sepatutnya diedarkan kepada tetamu masih berbaki 500 tetapi makanan sudah habis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya