JOHOR BAHRU: Seorang ibu dan anak sulungnya berusia dua bulan ditemukan maut dikelar oleh suspek dipercayai mempunyai pertalian keluarga di Kampung Bakar Batu, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Bapa mangsa, Rosman Ahmad, 58, hanya menyedari kejadian itu selepas berkunjung ke kediaman anak dan menantunya itu.
Dia mendapat panggilan daripada anak sulungnya yang meminta dia segera pergi ke kediaman mangsa, Hajar Nursyahirin, 26.
“Anak sulung saya tidak beritahu apa yang berlaku. Cuma meminta saya bergegas segera ke kediaman mangsa. Setibanya di sana saya dapati ramai orang berkerumun di rumah tersebut.
“Apabila saya dekati, saya amat terkejut kerana melihat anak saya dan cucu, Hans Mohd. Thakif yang baharu berusia dua bulan telah meninggal dunia dengan kesan kecederaan di bahagian leher mereka, seperti berpunca daripada benda tajam,” katanya ketika ditemui di sini.
Rosman memberitahu, sebelum ini suspek pernah bekerja membersihkan stadium, namun telah berhenti kerja beberapa bulan lalu dan kini melakukan kerja-kerja sambilan, tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Kini apa yang saya tahu dia bekerja sebagai pencuci kapal di Pasir Gudang, manakala Nursyahirin pula bekerja sebagai pembuat kek,” ujarnya.
Dia tidak menjangka perkara itu boleh berlaku kerana keluarga mangsa menjalani kehidupan normal seperti individu lain sejak melangsungkan perkahwinan pada tahun lalu.
“Saya terkejut kerana mangsa tidak pernah mengadu apa-apa masalah sebelum ini. Saya juga tidak tahu sama ada dia mempunyai sebarang masalah kewangan ataupun tidak.
“Cuma saya dimaklumkan oleh jiran-jiran bahawa mereka ada terdengar pergaduhan sebelum kejadian, tetapi itu sahaja yang saya tahu,” ujarnya.
Menurut Rosman, Hajar Nursyahirin dan suaminya sedang menunggu tarikh untuk menjalani majlis resepsi perkahwinan mereka pada 24 Julai ini.
“Mereka berkahwin semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi tidak sempat buat majlis kahwin, cuma langsungkan pernikahan sahaja, sepatutnya 24 Julai ini tarikh majlis mereka.
“Semua tempahan sudah disiapkan termasuklah pakaian perkahwinan mereka, tetapi tidak sangka pula perkara seperti ini berlaku hanya beberapa hari sebelum majlis.
“Dalam perancangan, mereka turut mahu melangsungkan majlis akikah untuk anak sulung mereka yang juga merupakan cucu keempat saya,” katanya sambil memberitahu pasangan tersebut merancang untuk berpindah ke rumah baharu di Bandar Seri Alam tidak lama lagi.
Sementara itu, ibu mangsa, Norazlina Hamdan, 50, pula dia hampir pengsan selepas melihat anak dan cucunya terbaring di depan pintu rumah dalam keadaan berlumuran darah dan tidak bernyawa.
“Dalam kepala tidak tahu hendak fikir apa, banyak persoalan apa yang berlaku siapa yang buat, tetapi apabila sudah tahu saya hanya mampu reda.” – UTUSAN











