KUANTAN: Pusat Susu Bonda Halimatussaadia (HMMC) yang ditubuhkan Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) disaran beroperasi secara berterusan bagi memastikan usaha membantu bayi baharu lahir, khususnya pramatang untuk mendapat khasiat susu ibu tercapai.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan tersebut ketika, berkenan berangkat mencemar dulu merasmikan HMMC di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SESMEC), UIAM di Indera Mahkota di sini hari ini.
Titah baginda, orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama yang dikurniakan kelebihan susu ibu boleh menyumbang bekalan ke pusat tersebut.
DERMA
“Saya harap program ini dilaksanakan berterusan dan dapat diketahui ramai supaya mereka tahu bahawa terdapat tempat di mana mereka boleh datang dan menderma susu mereka.
“Dengan adanya tempat seperti ini, ia boleh dimanfaatkan oleh semua bayi di seluruh negara khususnya pramatang.
“Justeru, saya berharap ramai ibu-ibu yang akan mendermakan susu mereka daripada ia berlebihan dan dibuang begitu sahaja,” titah baginda.
Di majlis tersebut, Tunku Azizah turut berkenan menurunkan tandatangan pada plak perasmian HMMC dan melawat pusat susu berkenaan di aras tiga Pusat Perubatan UIAM di sini.
Penubuhan HMMC bermula penghujung 2019 lalu sebagai sebahagian daripada inisiatif Hospital Mesra Bayi di SASMEC dengan mendapat kelulusan sepenuhnya dan patuh syariah bagi memastikan semua bayi memerlukan dapat dibekalkan dengan susu ibu.
Sementara itu, Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman berkata, pihaknya telah menjalankan penyelidikan dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif berhubung penubuhan pusat susu terbabit.
Beliau berkata, pusat tersebut mematuhi maqasid syariah dalam keseluruhan proses bermula daripada pengambilan penderma sehingga penyusuan susu ibu kepada bayi baru lahir.
“Sebelum memulakan operasi, pasukan kami juga telah membuat lawatan ke Hospital Universiti Queen Elizabeth di Glasgow bagi memperoleh kemahiran teknikal dalam mewujudkan dan menyelenggara Bank Susu Manusia.
PATUH SYARIAH
“Selain itu, pelbagai perbincangan turut diadakan bersama pihak berkuasa agama negeri termasuk Pejabat Mufti Negeri Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang bagi mendapatkan panduan dan nasihat tentang pematuhan syariah bagi penubuhan serta operasi.
“Semua prosedur diteliti pasukan terdiri daripada doktor dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi serta Jabatan Padiatrik, jururawat ahli mikrobiologi dan Jabatan Pematuhan Syariah. Segala prosedur mempunyai garis panduan yang lengkap,” katanya.
Aplikasi digital I-milk telah dicadangkan sebagai tambahan untuk memastikan jumlah susu penderma yang diberikan kepada bayi baru lahir mematuhi peraturan syariah dan keturunan susu ibu terpelihara. -UTUSAN