PETALING JAYA: Kerajaan bukan sahaja perlu membatalkan tuntutan dikemukakan pewaris Sultan Sulu di mahkamah Perancis tetapi juga tidak mengiktiraf kewujudan mereka dengan membuktikan tiada bayaran RM5,300 setahun pernah dibuat kepada kumpulan itu sejak 1878.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, pembayaran itu memberi gambaran seolah-olah Malaysia mengiktiraf kumpulan itu meskipun selama ini kerajaan mengatakan tidak pernah mengiktiraf tuntutan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
Katanya, penamatan bayaran itu sejak 2013 menimbulkan persoalan adakah bayaran yang dilakukan sejak 1878 itu seperti mana perjanjian antara Sultan Sulu, Sultan Jamal Al Alam dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent daripada Syarikat Borneo Utara British.
“Walaupun kerajaan berjaya menggantung penguatkuasaan ‘Final Award’ pewaris Sultan Sulu di Mahkamah Rayuan Paris di Perancis, namun kita perlu berusaha untuk mengetepikan dan membantah keputusan itu yang dilihat memberi risiko kepada negara.
“Namun kita perlu membatalkan perjanjian pembayaran RM5,300 setahun kepada mereka dengan mengambil kira adakah ia masih sah kerana dimeterai sebelum pembentukan Malaysia,’’ katanya.
Kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penguatkuasaan ‘Final Award’ dituntut pihak tertentu yang mendakwa sebagai pewaris Sultan Sulu telah pun digantung oleh Mahkamah Rayuan Paris di Perancis. – UTUSAN









